Home Utama Adakah Pas sudah ‘mengislamkan’ UMNO?

Adakah Pas sudah ‘mengislamkan’ UMNO?

Mahathir
Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Adakah Pas sudah menarik balik fatwa mengkafirkan UMNO?

Itu persoalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kerjasama Pas dengan UMNO sekarang.

“Pas tidak pernah menarik balik “fatwa” tersebut. Sudahkah PAS Islamkan UMNO?” soalnya dalam kenyataan di blognya ChetDet hari ini.

Mahathir yang juga Perdana Menteri menegaskan, Pas dahulu tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana UMNO didakwanya mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.

“Ini adalah di antara asas Amanat Haji Hadi yang membawa kepada sembahyang dua imam; tidak mahu makan sembelihan orang UMNO, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang Pas jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang UMNO, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO, mengharamkan isteri mengundi UMNO dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi.

“Adakah kesemua larangan dan amalan-amalan ini telah ditarik balik atau di arah untuk dihentikan? Apakah orang UMNO terima bahawa mereka dengan Pas kelainan agama tetapi perbezaan ini diterima kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Melihat pada perkembangan sekarang, kerjasama antara UMNO dan Pas lebih ke arah untuk mengembali Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin dan menghalalkan semua jenayah yang didakwa ke atas Najib, katanya.

“Adakah Pas sudah anggap Najib yang sedang menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah dan salahguna kuasa tidak bersalah.

“Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salahguna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan? Apakah ini adalah pembohongan yang wajib?

“Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh Mahkamah belum dapat diadakan. Akan terimakah Najib sebagai pemimpin Pas jika ia didapati bersalah?” soal Mahathir lagi.

Beliau berkata, tidakkah Pas sedar semakin ramai ahli-ahli UMNO sendiri keluar daripada parti itu kerana UMNO mengamalkan kleptokrasi tetapi Pas mahu bersengkongkol pula.

“Selain dari itu, Pas perlu sedar nilai yang diterap dengan bekerjasama dengan Najib dan UMNO di waktu ini.

“Najib menggelar dirinya dan digelar oleh pengikutnya sebagai “Boss” yang tak perlu berasa malu.

Bos bermakna “tuan hamba”. Apakah Pas juga bersedia untuk jadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri. Sudah gugurkah Pas perasaan malu apabila menerima Najib sebagai ‘boss’.

Beliau juga mengulangi dakwaannya ada beberapa orang pemimpin Pas datang berjumpa dengannya dan menyerahkan satu dokumen akujanji akan menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Pemimpin Pas itu, katanya menegaskan tidak akan berkempen sokong Barisan Nasional (BN) di Semenyih tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin Pas hadir bersama pemimpin BN. Inikah janji Pas?, soalnya lagi.

Apa pun, kata Mahathir, PH tidak gentar melihat gabungan Pas dengan UMNO kerana ia memberi banyak isu dan peluang mendedahkan pembohongan yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Pas, UMNO meterai kerjasama penyatuan ummah