KUALA LUMPUR – Menerusi kata dua daripada MCA dan MIC berhubung kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN) dengan ‘ugutan’ akan keluar dari gabungan itu pada bila-bila masa, Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) berikrar akan terus setia kepada BN.
Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan berkata kepada MalaysiaGazette bahawa beliau serta parti itu akan terus kekal bersama BN tidak apa jua yang berlaku.
Walaupun IPF hanya sekadar ‘friendly’ dan bukannya parti komponen seperti MCA dan MIC selama puluhan tahun, namun jelas Sambathan, jasa serta sumbangan BN khasnya UMNO ketika masih berkuasa adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan olehnya.
“Jika hendak luah perasaan, memang banyak yang boleh kami luahkan apatah lagi sehingga saat akhir ketika memegang kuasa, kita tidak berjaya diserap sebagai salah satu komponen kerana terdapat sedikit ‘halangan’ dari dalam.
“Tetapi ini adalah saat-saat genting kita juga, ketika masa susah inilah, kita seharusnya bersatu. Lagipun saya tidak dapat nafikan segala jasa yang telah UMNO dan BN taburkan kepada IPF sebelum ini. Tidak boleh kata langsung tiada.
“Lagi-lagi dua kemenangan kita di Cameron Highlands dan juga DUN Semenyih yang juga merupakan antara kubu kuat bagi IPF, ini adalah satu permulaan yang baik, kami tidak mahu berfikir panjang atau terus berkonflik.
“Ini juga akan memberikan peluang kepada pihak lawan untuk terus melemahkan barisan komponen kita, saya rasa ini tidak betul. Sudah tentu saya tidak mempunyai kuasa atau hak untuk bercakap bagi pihak lain tetapi IPF akan setia dengan BN walau apapun yang terjadi,” katanya sebentar tadi.
Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara mengulas cadangan MCA dan MIC supaya BN dibubarkan agar kedua-dua parti itu boleh meneroka peluang pakatan politik baharu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kedua-dua parti itu menyatakan kekecewaannya dengan perkembangan semasa yang menyaksikan asas kesefahaman dalam BN tidak lagi dihormati.
Kedua-dua parti komponen itu sebenarnya mula melahirkan rasa tidak senang serta kecewa dengan tindak tanduk Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang dikatakan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman tanpa menghorati sensitiviti kaum di negara ini.
Kedua-dua parti komponen itu yang diterajui Tan Sri SA Vigneswaran dari MIC dan MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong juga telah menyatakan pendirian tidak akan menghadiri Mesyuarat Tertinggi BN seandainya Nazri Aziz hadir.
Namun demikian, Nazri Aziz pula dengan nada bersahaja berkata, parti lain seperti IPF, Makkal Sakthi serta Kongres Muslim Malaysia (KIMMA) yang mewakili masyarakat India juga boleh dibawa masuk sebagai pengganti.
Dalam pada itu, jelas Sambathan lagi, semangat setiakawan penting bagi memastikan pembangkang terus kekal relevan dan mampu menjadi ‘semak imbang’ yang lebih kuat demi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Mengapa mahu beri ruang kepada pihak lawan untuk tengok kita lemah? Ini masa untuk bekerjasama di bawah satu bumbung dan menjadi lebih kuat, itu strateginya,” ujar Sambanthan. –MalaysiaGazette