Home Utama Keputusan SPM diumum 14 Mac ini

Keputusan SPM diumum 14 Mac ini

KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan diumumkan pada 14 Mac ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah selepas pukul 10 pagi.

Menurut kenyataan itu, calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar menduduki peperiksaan.

“Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2018 melalui mySMS 15888, yang akan diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 14 Mac dan akan ditamatkan pada jam 6 petang 20 Mac,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, pada tahun lepas seramai 421,706 calon mendaftar untuk menduduki SPM di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 362,754 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan (9,427 calon).

Selain itu, 8,160 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat (2,059); calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (14,001) dan calon persendirian (25,305).

Ujarnya, keputusan juga boleh disemak melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan sppat.moe.gov.my/semakan.

“Bagi calon SPM 2018 yang ingin mengambil SPM ulangan 2019 atau sebagai calon persendirian untuk 2019, pendaftaran dibuka bermula 14 Mac hingga 31 Mac ini. Pendaftaran boleh dibuat dengan melayari laman sesawang sppat.moe.gov.my,” ujarnya. – MalaysiaGazette