PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 juta bagi mengadakan tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan pada 13 April depan.
Menurut Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, jumlah itu terpaksa dibelanjakan bagi menguruskan ketujuh-tujuh PRK itu dalam masa tidak sampai setahun selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei tahun lalu.
“Peruntukan yang telah dibelanjakan pada enam PRK lepas termasuk PRK Rantau adalah berjumlah RM15,348, 7330,” katanya dalam sidang media PRK DUN Rantau di Ibu Pejabat SPR hari ini.
Bagi PRK Rantau April depan, SPR turut membelanjakan RM1.8 juta bagi proses pengurusan untuk proses penamaan, undian awal dan proses pengundian.
Ditanya samada badan itu akan melarang pemasangan sebarang kain rentang dan poster provokasi, jawab Azhar, perkara itu telahpun dibuat pada dua PRK lalu iaitu Cameron Highlands dan Semenyih.
Larangan itu turut termaktub kepada barong-barong panas pada hari pengundian PRK DUN Rantau.
“Kita sentiasa melarang banner yang provokatif dan boleh menimbulkan kemarahan dan sebagainya.
“Kita akan pantau barong yang didirikan. Kalau kita nampak ia sedang didirikan, maka kita akan suruh mereka berhenti. Kalau telah didirikan kita akan nasihatkan agar barong itu diruntuhkan seperti di Cameron Highlands dan Semenyih,” katanya.
Terbaharu, SPR akan mengadakan PRK DUN Rantau yang merupakan PRK ketujuh selepas DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan DUN Semenyih Sabtu lepas.
Dalam pada itu, Azhar berkata, SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK DUN Rantau. -MalaysiaGazette