Home Nasional Sungai Golok semakin surut akibat cuaca panas di Kelantan

Sungai Golok semakin surut akibat cuaca panas di Kelantan

foto: Bernama

PASIR MAS – Cuaca panas yang berlaku di Kelantan sejak kira-kira dua minggu lepas menyebabkan paras air Sungai Golok yang menjadi ‘batu sempadan’ antara Malaysia dan Thailand di negeri ini, semakin susut.

Tinjauan Bernama ke Rantau Panjang di sini, mendapati keadaan itu menyebabkan pembentukan beting pasir di tengah sungai sekali gus menyebabkan kesukaran kepada pengusaha bot penambang melakukan aktiviti mereka.

Selain itu, tinjauan Bernama dekat Kampung Jeram Perdah di sini, pula mendapati jarak antara Malaysia dengan Thailand menjadi ‘lebih dekat’ berikutan sungai tersebut menjadi seperti parit dengan jarak kira-kira 4 meter.

Berikutan itu, penduduk yang tinggal berdekatan boleh menyeberang ke negara jiran secara berjalan kaki sahaja kerana batu yang berada di tengah sungai sudah timbul dan rapat ke negara jiran.

Seorang pengendali bot penambang, Din Mamat, 50, berkata berikutan fenomena itu, pemandu bot perlu lebih berhati-hati ketika mengendalikan bot mereka kerana bimbang terlanggar bongkah kayu atau batu yang berada di dasar sungai yang semakin cetek.

Beliau berkata malah ada juga bot yang tersangkut pada pasir kerana dasar sungai yang terlalu cetek sehingga menyebabkan ia terpaksa ditolak kerana enjin galah juga tidak mampu berfungsi.

“Namun keadaan itu juga menarik perhatian penduduk setempat terutama kanak-kanak dari kedua-dua negara yang tinggal di tebingan sungai untuk mandi-manda di sungai berkenaan terutama pada waktu petang.

“Sekiranya air semakin mengering saya jangka keadaan di sungai ini akan menjadi seperti ‘pesta’ sebagaimana yang berlaku beberapa tahun lepas sehingga ada yang datang berniaga di sungai ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Seorang penduduk Kampung Jeram Perdah, Ismail Awang, 60, berkata, fenomena cuaca panas menyebabkan pengendali bot tidak serancak seperti biasa kerana penduduk boleh melintasi kawasan sempadan dengan berjalan kaki sahaja.

“Sebelum ini kawasan ini menjadi tumpuan penduduk memasang pukat dan memancing tetapi sekiranya air semakin surut mungkin menyukarkan usaha nelayan darat mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menunjukkan paras air Sungai Golok berada pada paras 3.58 meter berbanding paras normal 5 meter.

Selain itu, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pula menurun kepada 7.30 meter berbanding paras normal 10 meter manakala Sungai Kelantan di Air Mulih, Pasir Mas menurun kepada 1.57 meter berbanding paras normal 4 meter.

Bagaimanapun, paras air di kebanyakan sungai di Hulu Kelantan seperti Gua Musang dan Kuala Krai masih dalam keadaan normal.

Kelantan kini dilanda cuaca panas walaupun masih berada dalam monsun Timur Laut. – Bernama