Home Nasional Imigresen berjaya tumpas dua sindiket pasport palsu

Imigresen berjaya tumpas dua sindiket pasport palsu

Imigresen
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (tengah) menunjukkan dokumen palsu pada sidang media mengenai Imigresen tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen di Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2019

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya merampas 1,150 pasport pelbagai negara yang mengandungi pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PKLS) palsu dalam dua operasi berasingan pada 5 dan 6 Mac lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, 755 merupakan pasport sah laku, 389 pasport tamat tempoh dan enam pasport disyaki palsu.

“Dua sindiket pemalsuan dokumen melibatkan warga asing dan rakyat tempatan berjaya ditumpaskan.

“Dalam kejayaan pertama pada 5 Mac 2019, JIM Selangor bertindak berdasarkan maklumat orang ramai telah menyerbu sebuah kediaman di Ampang.

“Daripada serbuan ini, seramai lapan orang warganegara Bangladesh telah ditangkap atas kesalahan melakukan pemalsuan dokumen iaitu pelekat PLKS,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JIM, di sini, hari ini.

Antara barang rampasan lain dalam dua operasi bersepadu itu ialah 40 pelekat JIM, enam telefon pintar, lapan buku resit atas dua nama syarikat, tiga komputer riba dan sebuah mesin pencetak.

Khairul Dzaimee juga berkata, dua sindiket itu dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya sejak tiga tahun lalu.

“Sindiket ini telah mengakibatkan JIM kehilangan hasil sehingga RM7.2 juta daripada bayaran levi bagi sektor perkhidmatan,” katanya.

Katanya, sindiket terbabit mengenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000 kepada setiap warga asing yang ingin memperbaharui PLKS.

“Sindiket beroperasi sejak 2011 dan telah memproses permohonan lebih daripada 20 syarikat,” katanya.

Katanya lagi, kes pemalsuan itu disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/1963.

“Kes ini disiasat kerana membuat atau memalsu atau meminda suatu endorsemen atau dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau kelayakan di bawah Akta.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM30,000 dan dipenjara tidak kurang 5 tahun tetapi tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan,” katanya. – MalaysiaGazette