MARANG – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan keraguan pihak-pihak tertentu tentang keupayaan parti itu mengumpul dana kewangannya secara halal sehingga RM90 juta.
Sedangkan perkara itu tidak pelik memandangkan ahli Pas kini menjangkau lebih sejuta ahli seluruh negara.
Presiden Pas itu berkata, kekuatan dan pengikut parti itu semakin bertambah serta mempunyai ahli-ahli parti yang ikhlas menyumbang.
“Kita telah menghadapi satu fitnah. Fitnah kita terima duit banyak. Tak ada duit pun tak boleh, banyak duit pun tak boleh. Dia nak kita ini ‘mati kering’.
“Alhamdulillah, Allah Taala beri rezeki kepada kita. Rezeki yang halal, bukan rezeki yang haram. Kekuatan kita makin bertambah, pengikut-pengikut kita makin bertambah ramai,” katanya.
Jelasnya, jika ahli Pas setiap seorang menyumbang sebanyak RM100 seorang, sudah RM100 juta.
“Sumber kewangan parti adalah ikhlas dari ahli-ahli dan pendukung Pas yang ramai di seluruh negara.
“Pelik apa dengan RM90 jutanya, RM900 juta pun tidak pelik,” kata Ahli Parlimen Marang itu selepas Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu, ‘Isu Fitnah Terhadap PAS’ di Masjid Rusila malam tadi.
Tambah Abdul Hadi, ada pihak tertentu yang hairan mengapa Pas boleh bertanding kerusi dengan begitu banyak.
“Peduli apa itu hal kita. Ikut pandai kitalah, jadi orang susah dengan hal kita.
“Kita pandailah cari, yang penting ialah pendapatan yang halal dan sumbangan yang ikhlas daripada pengikut-pengikut kita dari pelbagai peringkat, yang percaya janji (Allah) adanya pahala menolong perjuangan Islam ini,” katanya sambil menambah apa sahaja sumbangan untuk kerja Islam akan adanya pahala dari Allah.
“Perkara itu amat diyakini,” katanya.
Abdul Hadi mengakui fitnah semakin kuat melanda parti itu dan memohon petunjuk dan mengadu kepada Allah adalah jalan terbaik dalam perjuangan Islam. – MalaysiaGazette