Home Nasional BARMM berminat pelajari cara bangunkan Mindanao

BARMM berminat pelajari cara bangunkan Mindanao

Mahathir
Dr. Mahathir Mohamad.

MANILA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin Wilayah Autonomi Muslim Bangsamoro Mindanao (BARMM) amat berminat untuk mempelajari cara Malaysia untuk membangunkan wilayah di Selatan Filipina berkenaan.

Katanya, kepimpinan wilayah autonomi yang diwujudkan selepas ratifikasi Undang-Undang Organik Bangsamoro berkenaan juga berminat mempelajari cara Malaysia menyediakan peluang pekerjaan di wilayah itu serta kaedah menggalakkan kemasukan pelabur luar ke wilayah itu.

“Mereka (BARMM) mempunyai ramai pejuang yang dahulu tahu berperang sahaja tetapi sekarang ini pejuang-pejuang itu perlulah beralih kepada kerja-kerja pembangunan kawasan Mindanao,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan tiga harinya ke Filipina di sini hari ini.

Sebelum itu, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan dengan interim Ketua Menteri BARMM Murad Ebrahim dan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Datu Abdul Khayr Alonto.

Dr Mahathir mengakui tidak mudah membangunkan semula wilayah Mindanao termasuk Marawi disebabkan kerosakan fizikal teruk yang dialami serta kesan psikologi daripada konflik bersenjata selama puluhan tahun namun ia masih boleh dilakukan melalui kesediaan semua pihak untuk memulakan kehidupan baharu.

“Memang keadaan di Mindanao agak teruk sedikit… Agak teruk untuk dibangunkan semula. Selain daripada itu, kawasan ini telah berperang berpuluh tahun dan sudah tentu persepsi mereka mengenai pemerintahan, tentang undang-undang, tentang perlunya mereka kawal diri, berdisiplin sudah tentu tidak sama seperti negara di mana peperangan tidak pernah berlaku.

“Jadi, ini perlu ditangani oleh kerajaaan automomi yang baru ditubuh. Dan kerajaan ini pula, mereka tidak ada pengalaman dalam pemerintahan biasa. Mereka (sebelum ini) menumpukan kegiatan mereka ke arah berperang untuk membebaskan wilayah mereka.

“Jadi, sekarang ini mereka sudah terima bahawa autonomi adalah sesuatu yang mereka berpuas hati dengannya dan mereka sedar bahawa dalam autonomi kerajaan pusat mempunyai kuasa juga ke atas kawasan mereka…”, katanya.

Mengenai peranan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dalam pembangunan selatan Filipina, Dr Mahathir berkata, ia perlu dihidupkan semula kerana kerajaan lepas tidak memberi tumpuan kepada BIMP-EAGA.

“Sekarang ini, oleh kerana kita sudah ada persefahaman untuk pembangunan wilayah, kita perlu selidik mengenai apakah cara-cara untuk mengisi BIMP-EAGA,” katanya. – Bernama