Home Ekonomi Malaysia bayar kadar kupon 0.53% setahun untuk bon Samurai

Malaysia bayar kadar kupon 0.53% setahun untuk bon Samurai

Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah berjaya menerbitkan bon Samurai dengan jaminan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) sebanyak RM7.3 bilion (¥200 bilion).

Terbitan ini telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai institusi dan pelabur-pelabur Jepun yang berkualiti.

Pelabur-pelabur tersebut adalah bank-bank khusus (37.9%), bank-bank bandar (35%), syarikat-syarikat insurans nyawa (13.9%), bank-bank wilayah (6.5%), bank-bank shinkin (3.8%) dan lain-lain (2.9%).

Bon ini dengan tempoh matang 10 tahun pada kadar kupon 0.53 peratus setahun dan kos keseluruhan, termasuk fi jaminan 0.10 peratus ialah 0.63 peratus setahun.

Penerbitan bon ini merupakan yang pertama sejak penerbitan bon Samurai yang terakhir pada tahun 1989.

Dengan saiz terbitan berjumlah ¥200 Bilion, ini adalah terbitan bon kerajaan jaminan JBIC yang terbesar dalam pasaran Jepun.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, sebagai sebuah aturan Kerajaan-ke-Kerajaan, penerbitan bon ini dijamin oleh JBIC melalui program “Guarantee and Acquisition toward Tokyo market Enhancement” (GATE).

Hasil kutipan daripada terbitan ini akan digunakan untuk tujuan-tujuan umum membiayai perbelanjaan pembangunan yang antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur utiliti.

Proses penerbitan ini dimulai dengan siri jelajah dua hari di Tokyo, Jepun pada 7 dan 8 Februari 2019 yang diketuai oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, diikuti dengan sesi pemasaran rasmi pada 4 hingga 7 Mac 2019.

Peluang yang ditawarkan oleh Kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk memasuki pasaran bon Samurai telah meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan terkemuka di rantau ini, di samping mempelbagaikan asas
pembiayaan Kerajaan Malaysia.

Mizuho Bank, HSBC Malaysia dan Daiwa Securities dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank merupakan pengatur utama bersama dan pengurus akaun bersama bagi terbitan ini. – MalaysiaGazette