Home Nasional SPRM ‘diugut’ segera bertindak

SPRM ‘diugut’ segera bertindak

Bekas Ketua Bahagian MIC Sungai Siput, M Lokanathan (tengah) menunjukkan dokumen penyelewengan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Tun S Samy Vellu ketika hadir membuat laporan SPRM di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 MAC 2019

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kata dua untuk segera bertindak menyiasat dakwaan penyewelengan bekas Ahli Parlimen Sg Siput merangkap Presiden MIC, Tun Samy Vellu atau berdepan dengan tindakan lain.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, Jenapala Perumal berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap SPRM jika gagal bertindak terhadap aduan-aduan yang telah dibuat sejak 2016 lagi.

“Sebanyak RM120 juta telah disalahgunakan tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan atau penjelasan oleh pihak SPRM walaupun laporan sudah dibuat beberapa kali.

“SPRM tidak ambil tindak tindakan, maka kita akan membuat satu laporan polis terhadap agensi ini bersekongkol dengan Samy Vellu.

“Kami akan buat laporan terhadap SPRM jika tindakan sewajarnya tidak diambil dengan segera,” katanya kepada pemberita di luar bangunan SPRM sebentar tadi.

Terdahulu, bekas Ketua Bahagian MIC Sg Siput, M Lokananthan tampil membuat laporan buat kali ketiga terhadap bekas Menteri Kerja Raya itu dengan dakwaan terdapat beberapa penyelewengan 101 ekar tanah yang didakwa dibeli bawah harga pasaran.

MGF080319_LAPORAN SPRM02
Bekas Ketua Bahagian MIC Sungai Siput, M Lokanathan bercakap kepada media ketika hadir membuat laporan SPRM penyelewengan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Tun S Samy Vellu di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 MAC 2019

Dakwa Lokanathan, pada 2005, Samy Vellu telah membeli 101 ekar tanah daripada sebuah koperasi untuk membina rumah bagi pemegang saham koperasi berkenaan namun sehingga kini pembangunan itu tidak pernah dijalankan.

“Tanah itu juga telah dibeli dengan nilai pasaran iaitu sebanyak RM11,000 jika hendak dibandingkan harga sebenar iaitu RM68,000.

“Sebaliknya bukan sahaja tidak ada sebarang pembangunan di tanah-tanah itu sebaliknya ianya juga telah ditukar milik kepada seorang ahli perniagaan berbangsa Cina.

“Tuduhan kedua, tanah dan bangunan milik koperasi perladangan berkait dengan Samy Vellu juga telah ditukar hak pemilikan kepada lelaki Cina berkenaan. Kita mahu semua ini segera di siasat dan saya akan sampaikan bahan bukti kepada SPRM hari ini.

“Saya tidak mempunyai sebarang motif politik berhubung perkara ini sebaliknya hanya melakukan laporan ini demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Lokanathan membuat laporan kepada SPRM sejurus selepas mengadakan sidang media sekitar jam 12 tengahari tadi. –MalaysiaGazette