KUALA LUMPUR – Meskipun kerjasama UMNO-Pas umpama mimpi ngeri atau igauan buruk kepada DAP namun ia bukan alasan kepada parti itu untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan pergeseran dan ketegangan kaum.
DAP perlu tahu kerjasama dan penyatuan UMNO-Pas penting bagi memastikan kepentingan agama Islam dan orang Melayu dipertahankan.
Jadi, sebelum ada lagi pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan lebih baiklah mereka menoleh semula sejarah tentang kerjasama parti itu dengan Pas dalam Pakatan Rakyat.
Kerjasama bersejarah itu pastinya tidak akan dilupakan dan ia tidak ditentang oleh UMNO.
Lantas, soal Dr Jeniri Amir, apakah masalah DAP jika kedua-dua parti Melayu dan Islam itu saling bekerjasama kerana itu adalah strategik politik.
“Mengapa Lim Guan Eng sampai terkeluar kenyataan kerjasama UMNO-Pas merupakan pengisytiharan perang kepada bukan Melayu. Pemimpin lain pula mendakwa Malaysia akan menjadi ganas dengan kerjasama UMNO-Pas.
“Ini semua kenyataan hasutan.
“Lim Guan Eng dan pemimpin lain perlu berhati-hati. Jangan sampai kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka memudaratkan kepada sosial dan politik,” tegas penganalisis politik itu.
Dr Jeniri berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP itu secara langsung menunjukkan kerjasama UMNO-Pas menggugat Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, sudah tentu ada kebimbangan kerana 70 peratus pengundi di Semenanjung adalah pengundi Melayu.
Dengan ketidakpastian dalam situasi politik semasa, kerjasama UMNO-Pas diibaratkan sebagai ‘sinar cahaya’ baharu kepada orang Melayu.
“Rasionalnya, kalau orang Melayu dan Islam menyokong kerjasama itu, sudah tentu terhakis sokongan Melayu kepada PH. Inilah menjadi kebimbangan DAP selaku parti yang mendominasi PH,” tambah beliau lagi.
Ditanya tindakan bersendirian DAP dalam ‘menyerang’ kerjasama Pas-UMNO itu, Dr Jeniri berkata, parti-parti lain sudah tentu tidak mahu ‘menari’ sama kerana bimbang terpalit dalam isu kontroversi tersebut.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara, masing-masing mempunyai pengaruh Melayu juga dan jika bertindak sama dengan DAP, sudah tentu memakan diri sendiri.
“Mustahil parti-parti ini mampu menyinggung orang Melayu,” katanya.
Dr Jeniri berkata, kenyataan-kenyataan melampau DAP itu tidak akan membawa parti itu ke mana-mana sebaliknya hanya menimbulkan rasa kecewa, muak dan sedih terutama dalam kalangan orang Melayu kepada Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette
apa tak perangnya bila umno pas tuduh dap anti islam . sepatutnya kalau ada bukti buat repot lah. bukan duk jaja setiap kempen pilihan raya. . tak ke pedih telinga mendengar. bila orang serang balik pandai pula melenting . bila melenting tu menghasut lagi.