Home Sukan F1 perkenal mata tambahan untuk pusingan terpantas

F1 perkenal mata tambahan untuk pusingan terpantas

Ferrari dan Mercedes sekali lagi dijangka mendominasi kejuaraan dunia F1 musim ini

ENGLAND – Formula Satu (F1) akan mengubah sistem pemarkahan terhadap kesemua 20 pasukan pelumba F1 yang bertanding tahun ini.

Badan F1 itu membuat keputusan untuk memberi mata tambahan kepada pasukan yang melakukan pusingan terpantas dalam setiap Grand Prix tahun ini.

Perlumbaan GP F1 akan membuka tirai di Australia pertengahan Mac ini.

Sistem pemarkahan pusingan terpantas dijangka digunapakai bermula perlumbaan GP Australia.

Langkah itu merupakan inisiatif untuk mempopularkan F1, selain menambah jumlah penonton.

Pengurus besar F1 telah membincangkan idea itu selepas menjalankan kajian soal selidik dalam kalangan peminat F1.

Cadangan itu dijangka dimuktamadkan secara rasmi sebelum perlumbaan pembuka tirai di Australia minggu depan.

Langkah itu juga telah diterima dan diluluskan oleh Badan perundangan utama Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA.

Bagaimanapun, cadangan itu masih memerlukan perakuan dan tandatangan dua lagi badan permotoran iaitu kumpulan strategi pasukan peneraju, F1 dan FIA serta Suruhanjaya Formula 1 yang merangkumi penaja, pasukan dan litar perlumbaan.

Apabila terlaksana sistem pemerkahan baharu itu, pemandu jentera F1 yang merekodkan pusingan terpantas akan diberikan markah jika turut berjaya menamatkan perlumbaan dalam 10 teratas.

Sistem ini adalah kali pertama dilaksanakan sejak Kejohanan Dunia F1 antara 1950 hingga 1959.

Bagaimanapun beberapa pasukan F1 berpendapat sistem berkenaan mampu memberi impak kepada pelumba.

Mereka mendakwa sistem markah pusingan terpantas ini menentukan kejuaraan F1 yang akan menidakkan pesaing kejuaraan dengan hanya markah pusingan terpantas di atas litar perlumbaan.

Namun idea itu telah diketengahkan kepada peminat menerusi kajian soal selidik yang dikendalikan F1 tahun lalu sebelum peminat dan pihak berkepentingan sukan berkenaan menyambut baik cadangan pelaksanaan itu. – MalaysiaGazette