Home Utama Kena pinda undang-undang untuk wajibkan dua vaksin

Kena pinda undang-undang untuk wajibkan dua vaksin

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan perlu membuat pindaan terhadap undang undang sedia ada sebelum mewajibkan dua suntikan vaksin iaitu MMR melibatkan campak, beguk dan rubella serta vaksin difteria.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebelum ini pihaknya menerima cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua daripada 13 vaksin di bawah program Imunisasi Kebangsaan.

“Perkara dua waksin itu kita akan mewajibkannya setelah mengadakan perbincangan mendalam dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan sebagainya.

“Ia memerlukan sedikit pindaan undang-undang untuk dijadikan mandatori pelaksanaannya (dua vaksin).

“Kita akan ada persidangan Parlimen 11 Mac ini, mungkin bukan yang terdekat tetapi (sidang) yang seterusnya (Julai) bawa usul pindaan undang-undang,” katanya dalam sidang media di sini.

Terdahulu beliau telah melancarkan Program Gotong Royong Mega perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan 2019 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Cheras di sini pagi ini.

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya mengenai kadar pembayaran vaksin untuk bukan warga negara yang tidak berdokumen serta warga asing, katanya mungkin bayaran dikenakan.

“Yang mampu boleh bayar, yang tidak mampu kalau datang kami terpaksa menanggung dan merawat.. kita tak boleh halau kalau dia datang dengan penyakit,” tegasnya sambil menejelaskan isu berkenaan masih di peringkat perbincangan.-MalaysiaGazette