Mayat Cikgu Ya, 80, ditemui kira-kira pukul 4.45 petang tadi di dalam curam sedalam 10 meter oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Anaknya, Mohamed Rahimi Yahya, 44, berkata mayat ayahnya ditemukan tidak jauh dari lokasi penemuan Perodua Kancil milik warga emas itu di kawasan berkenaan.
Katanya mayat bapanya ditemui kira-kira 50 meter dari lereng bukit dan mangsa dipercayai terjatuh ketika berjalan di kawasan itu.
“Selain itu, kepalanya juga didapati berdarah kerana terhantuk batu ketika terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat Yahaya dan mayatnya dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat.
Sebelum ini, Perodua Kancil dipandu Yahaya ditemui penduduk kampung di Bukit Cengkih pada Khamis dan operasi mencari serta menyelamat dijalankan di kawasan berkenaan.
Berita kehilangan Yahaya dilaporkan selepas guru itu keluar bersendirian dari rumahnya di Hilir Sungai Burung pada Sabtu minggu lalu, dengan menaiki kereta Perodua Kancil.
Dia yang mempunyai masalah ingatan itu, dikatakan mahu pergi ke rumah kenalannya bernama Kak Teh bagi menghantar lebihan nasi untuk makanan ayam di Kampung Terang sebelum dilaporkan hilang.
— BERNAMA