KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat oleh Lim Guan Eng ekoran tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita-berita dan maklumat palsu serta gambar dengan menggunakan rupa dab format akhbar tempatan.
Berita-berita yang didakwa palsu itu digiat disebarkan melalui media sosial termasuk aplikasi Whatsapp bertujuan menimbulkan kekeliruan dan kemarahan rakyat terhadap Guan Eng.
Susulan itu, peguam dan beberapa pegawai Menteri Kewangan itu telah membuat laporan polis pada 7 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Laporan-laporan tersebut ialah:
1. Akhbar yang tidak dikenal pasti – “Henti beri bonus, duit raya kepada penjawat
awam”
2. Astro Awani – “Agong tiada hak tolak nama Peguam Negara PH”
3. MalaysiaKini – “Melayu jangan terlalu mengemis dengan kerajaan”
4. Akhbar yang tidak dikenal pasti – “Hapuskan Bumiputera”; “Penghapusan
pembahagian antara bumiputera dan bukan bumiputera dan pelaksanaan
kesaksamaan etnik”; dan “Petikan dari laman web rasmi DAP, bahagian Dasar
Parti http://dapmalaysia.org/parti/matlamat/parti-polisi
5. RoketKini.com – “Terlalu banyak kepincangan dalam hukum Islam di seluruh
dunia pada 22 Jun 2017oleh Lim Guan Eng”
6. Akhbar yang tidak dikenal pasti – “Kajian yang mendalam terhadap semua
kaum di dunia”; “Bangsa yang paling BODOH dan MALAS di dunia ialah
bangsa MELAYU- Lim Guan Eng”.
Setiausaha Akhbar, Lutfi Hakim berkata, mesej-mesej yang disebarkan dalam aplikasi WhatsApp tersebut adalah palsu danĀ bertujuan untuk memfitnah Menteri Kewangan kerana beliau tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti yang telah disebarkan.
“Mesej-mesej tersebut telah disebarkan dengan niat jahat bertujuan untuk membangkitkan sentimen perkauman, perasaan marah, tidak puas hati dan rasa kebencian terhadap YB Menteri Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, mesej-mesej berita palsu yang disebarkan seringkali menggunakan nama dan reka bentuk akhbar tempatan untuk mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk menyemak sebarang maklumat yang diterima, sama ada melalui aplikasi chat seperti WhatsApp, media sosial, atau saluran-saluran yang lain, dengan sumber-sumber maklumat dan akhbar rasmi dan profesional, seperti laman web dan saluran Facebook dan Twitter rasmi Kementerian Kewangan Malaysia. – MalaysiaGazette