Home Nasional KPDNHEP laksana penguatkuasaan elektronik

KPDNHEP laksana penguatkuasaan elektronik

Bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal melaksanakan penguatkuasaan elektronik yang akan meningkat prestasinya sebanyak 50 peratus.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian itu, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, jika pegawai hanya mampu menyemak 100 kedai sehari pada masa ini, mereka bakal dapat memeriksa 150 kedai dengan sistem elektronik tersebut.

Katanya, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan untuk membangunkan sistem penguatkuasaan elektronik yang akan disiapkan dalam tahun ini.

“Berbanding cara manual dalam pengumpulan dan perbandingan harga barang, cara kerja menggunakan sistem elektronik adalah lebih menjimatkan masa,” katanya kepada Sinchew Daily.

Iskandar berkata, bahagiannya hanya mempunyai 2,300 pegawai berbanding kawasan tugas yang amat luas.

“Jumlah pegawai yang ada memang tidak mencukupi, tetapi kami boleh menggunakan kelebihan teknologi untuk meningkatkan prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, Iskandar mengakui pihaknya berdepan cabaran dalam menangani masalah mencatut walaupun kerajaan mahukan kos sara hidup diturunkan.

“Penjaja umpamanya tidak mengeluarkan resit kepada pengguna dan keadaan ini menyebabkan kami tidak dapat membandingkan harga,” katanya.

Menurutnya, satu lagi kegiatan yang sukar dibendung ialah penyelewengan gas asli cecair bersubsidi dengan membeli tong gas kegunaan isi rumah, tetapi menyalurkan isinya kepada tong gas tujuan komersial.

“Kegiatan haram ini biasanya berlaku di tempat tersembunyi seperti di kubur, hutan atau kawasan terlindung yang sukar dikesan,” katanya. – MalaysiaGazette