Home Politik PH ternyata takut dengan kerjasama UMNO-Pas

PH ternyata takut dengan kerjasama UMNO-Pas

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad (tengah) beramah mesra dengan peserta pada Seminar Perpaduan Nasional di Hotel Plaza, Jalan Raya Laut, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas ternyata memperlihatkan kebimbangan mereka terhadap gabungan itu.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mencerminkan bahawa PH sangat takut dengan kerjasama kedua-dua parti itu yang boleh mendatangkan gelombang terbaharu dalam arena politik negara.

“Mungkin hasil daripada rasa ketakutan mereka dalam keadaan kerajaan UMNO- Pas dan ketakutan ini mengakibatkan mereka keluarkan macam-macam kenyataan.

“Dia kata bahawa kita isytihar perang terhadap masyarakat bukan Islam. Macam mana boleh kata kita isytihar perang dengan bukan Islam, kita bersama-sama dengan masyarakat bukan Islam,” katanya ketika merasmikan Seminar Perpaduan Nasional di ibu negara hari ini.

Iskandar merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Teluk Intan itu yang berkata kerjasama UMNO-Pas boleh mendatangkan pecah belah rakyat.

Malah katanya, Malaysia bakal menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban jika dua parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Malah katanya, kerjasama itu juga merupakan satu keadaan “tiada patah balik” yang akan menyebabkan rakyat menderita.

“UMNO dan Pas telah mengambil tindakan bersama yang semakin ekstrem manakala golongan Melayu yang sederhana dan berfikiran terbuka pula menjadi berdiam diri.

“Golongan yang berfikiran sederhana dan pertubuhan masyarakat berkenaan harus bersatu dan menguatkan tenaga supaya negara menghala ke aras pemerintahan yang mengamalkan pendekatan sederhana dan bukannya ekstrim,” katanya memetik laporan Kwong Wah Yit Poh, baru-baru ini.

Justeru itu, beliau berkata Pas boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh sama-sama membawa obor Islam malah sedia untuk melindungi kaum Melayu.

“Saya tertarik dengan kenyataan Presiden MIC, dia kata dulu Pas duduk dalam Pakatan Rakyat bekerjasama dengan DAP. Kenapa DAP sahaja yang boleh bekerjasama dengan Pas, sekarang MIC sudah kerjasama dengan Pas, kenapa tidak boleh?

“Inilah kadang-kadang rasa takut sesetengah pihak sampai melontar pelbagai tuduhan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.