KUALA LUMPUR – Apa salahnya Tengku Mahkota Johor (TMJ) memberi pandangan?
Itu kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah sambil menyelar kenyataan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Sambil menyifatkan Penyelaras Parlimen Jasin itu sebagai barking dog Pakatan Harapan (PH) Armand Azha mengingatkannya bahawa Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu merupakan pewaris Sultan Johor.
“TMJ mengeluarkan kenyataan kerana beliau melihat kelemahan pentadbiran kerajaan PH terutama daripada segi kepentingan agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja Melayu dalam lanskap politik hari ini.
“Beliau (TMJ) lihat kelemahan kerajaan menangani isu ICERD, isu pendidikan bumiputera, isu kebajikan terutama bagi bumiputera, isu kes Adib, isu penghinaan Nabi, isu penghinaan agama Islam secara terbuka, isu Himpunan LGBT yang dilihat tidak bagus bagi negara Malaysia yang berpegang pada Islam agama Persekutuan.
“Ini mungkin sebahagian sebab mengapa TMJ mengeluarkan kenyataan tentang isu Statut Rome bukan kerana nak jadi hero tetapi sebagai seorang putera raja, beliau juga mewakili suara rakyat di bawah yang makin gelisah melihat lanskap politik terkini.
“Kenapa barking dog PH hendak mempersoalkan kenyataan TMJ sehingga mempertikaikan pendirian TMJ secara terbuka. Saya nak nasihatkan Khairuddin jangan kurang ajar hanya kerana hendak mendapatkan publisiti murahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Khairuddin mempersoalkan kenyataan TMJ yang kerajaan tidak merujuk Majlis Raja-Raja Melayu sebelum membuat keputusan menyertai perjanjian Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
“Saya yakin, saya bersama jutaaan umat Islam dan bumiputera berdiri teguh bersama TMJ dalam mempertahankan maruah dan martabat Majlis Raja-Raja Melayu agar tidak diganggugugat dengan permaian politik kebencian ciptaan manusia seperti Khairuddin,” kata Armand Azha.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: