Home Nasional Media suka ‘kacau’ mulut para menteri – Tun Mahathir

Media suka ‘kacau’ mulut para menteri – Tun Mahathir

Gelagat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa melambaikan tangan ke arah pengamal media pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2019 turut hadir Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad membela barisan menteri Kabinetnya dengan menuding jari kepada media kerana bertanyakan soalan yang disifatkan sebagai provokasi kepada mereka khasnya yang masih setahun jagung.

Kata perdana menteri, walaupun sedia maklum tugas hakiki media, namun katanya, ada juga segelintir media yang dengan sengaja bertanyakan isu-su tertentu terutamanya yang berbentuk provokasi kepada menteri kurang berpengalaman.

“Nasihat saya kepada para menteri saya? Sebenarnya kadang-kadang media ini sendiri suka bertanyakan soalan-soalan provokasi.

“Soalan ini sengaja ditanya oleh media kerana merasakan pemimpin ini masih baru. Saya faham itu adalah tugas media. Tidak apalah. Itu ‘business’ anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi kata dua kepada para barisan menterinya sejurus selepas majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen yang ke-14 hari ini.

Dalam pada itu Dr Mahathir turut ditanya mengenai kritikan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Media dan Komunikasi, Datuk A. Kadir Jasin terhadap segelintir menteri serta tindak tanduk mereka dalam menerajui kerajaan.

Beliau enggan mengulas panjang berhubung pandangan Kadir Jasin itu sebaliknya hanya memohon lebih masa supaya pimpinan ini menjadi lebih fasih dengan tugas serta tanggungjawab yang seharusnya di pikul oleh mereka.

“Berilah masa kepada kita, ramai yang masih lagi baharu malah kita belum sampai setahun pun lagi, baru sembilan bulan. Kerajaan terdahulu BN juga bukanlah sempurna tidak pernah lakukan kesalahan.

“Mereka (BN) ada 60 tahun tapi kita baru sahaja mula tidak sampai setahun, beri kami masa,” ujarnya. –MalaysiaGazette