Home Sukan Ronaldo turun JB saksi JDT beraksi

Ronaldo turun JB saksi JDT beraksi

Ronaldo Luis Nazario de Lima

KUALA LUMPUR- Lagenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima tiba di Johor Bharu untuk menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Pengumuman itu dibuat di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers yang turut memaklumkan pemilik kepada kelab La Liga, Real Valladolid itu akan mengadakan pertemuan dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,

Tunku Mahkota Johor (TMJ) membincangkan kemungkinan pemain muda JDT yang bercita-cita besar untuk menimba ilmu dengan skuad Real Valladolid B yang beraksi dalam saingan Segunda Division B.

Ronaldo menamatkan karier dengan 412 gol dalam 601 perlawanan yang diiktiraf antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

“Sebaik sahaja tiba di Johor, beliau dibawa melihat prasarana dan infrastruktur yang dimiliki oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Pusat Latihan Padang Seri Gelam sebentar tadi.

“Bertambah menarik, satu lagi sejarah yang cukup manis buat JDT apabila Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali dan pernah bermain untuk Barcelona, Real Madrid, AC Milan and Corinthians ini akan menyaksikan perlawanan sulung ACL di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin menentang kelab Republik Korea, Gyeongnam FC pada malam ini.

“Ayuh, para penyokong Harimau Selatan, kita penuhkan sekali lagi Stadium Larkin pada malam ini dan berikan sokongan padu anda kepada JDT kerana mereka memerlukan sokongan keramat anda sebagai pemain ke-12 serta jadilah sebahagian dari sejarah berharga ini. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kenyataan itu.

Ini bukan kali pertama bintang dunia hadir di stadium keramat itu bagi menyaksikan perlawanan JDT.

Sebelum ini, seorang lagi bekas bintang Galaticos milik Real Madrid, Luis Figo pernah hadir ke Larkin untuk menyaksikan sendiri perlawanan di antara JDT menentang Perak dalam perlawanan Piala Sumbangsih Sultan Haji Ahmad Shah pada Februari lalu. – MalaysiaGazette