Home Sukan Selangor hilang Rufino 4 bulan

Selangor hilang Rufino 4 bulan

Foto Facebook Selangor FA.

KUALA LUMPUR – Motivasi tinggi Selangor selepas melakar kemenangan pertama Liga Super Malaysia musim ini terencat apabila penyerang import, Rufino Segovia terpaksa disisihkan daripada skuad Red Giants selama empat bulan akibat kecederaan.

Berita sedih itu diumumkan di laman Facebook rasmi Selangor FA hari ini namun tiada butiran lanjut mengenai kecederaan didedahkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Rufino dipercayai mengalami kecederaan kaki kiri ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur, malam Ahad lalu.

Menerusi kenyataan di laman sama, jurulatih B. Sathianathan menyifatkan ketiadaan pemain kelahiran Sepanyol itu adalah satu kehilangan besar buat pasukan.

Sehingga kini, pemenang kasut emas Liga Super musim lalu itu sudah pun menghasilkan tiga gol dari enam perlawanan pada musim ini.

Rufino terpaksa dikeluarkan pada minit ke-28 perlawanan ketika Selangor sedang berusaha memburu gol setelah ketinggalan jaringan awal Syafwan Sahlan seawal minit kelima.

Kuala Lumpur turut menjaringkan satu lagi gol pada babak akhir separuh masa pertama  melalui Indra Putra Mahayuddin untuk mendahului 2-0 sebelum waktu rehat.

Selangor bagaimana pun berjaya bangkit dengan tiga gol pada babak kedua melalui jaringan Syazwan Zainon, Sandro Mendonca dan Amri Yahyah untuk mengumpul tiga mata daripada perlawanan itu. – MalaysiaGazette