Home Ekonomi Tabung Harapan untuk bayar hutang negara

Tabung Harapan untuk bayar hutang negara

Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pengendalian Akaun Amanah Tabung Harapan Malaysia (THM) tertakluk kepada arahan amanah iaitu surat ikatan yang menjelaskan secara terperinci tujuan penubuhannya, fungsi dan peranan Jawatankuasa Akaun yang mentadbir akaun tersebut, sumber kewangan dan penggunaan wang dalam akaun.

Ia bagi memastikan pengendalian tabung itu dilaksanakan secara teratur, telus, berintegriti dan mengikut perundangan.

Antara tatacara pengurusan Akaun Amanah THM adalah keperluan bermesyuarat sekurang-kurangkan dua kali setahun dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan sumber-sumber kewangan yang dikreditkan ke dalam akaun.

Penggunaan wang dalam akaun adalah untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik yang perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah ini sahaja dan adalah tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Akaun yang mentadbir.

Selain itu, pengurusan akaun amanah yang dikawal selia secara berkala oleh Akauntan Negara Malaysia dan Ketua Audit Negara melalui Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.

Lim Guan Eng berkata, sesuatu akaun amanah adalah untuk kegunaan Jawatankuasa Akaun dan pentadbir sahaja dan bukanlah untuk makluman umum.

“Tabung Harapan Malaysia ditubuhkan berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 9(1) Akta Tatacara Kewangan
1957 (Akta 61) dan terikat dengan Arahan Amanahnya yang berkuatkuasa pada 17 November 2018 (pindaan pertama),” katanya.

Menteri Kewangan itu menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang bertanya apakah butiran terperinci tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Tabung Harapan Negara (trust deed) dan apakah keputusan kerajaan berhubung penggunaan wang kutipan tabung tersebut.

“Tabung Harapan Malaysia ditubuhkan berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 9(1) Akta Tatacara Kewangan
1957 (Akta 61) dan terikat dengan Arahan Amanahnya yang berkuatkuasa pada 17 November 2018 (pindaan pertama),” katanya.

Baki akhir setakat 14 Januari 2019, iaitu tarikh akhir jumlah sumbangan ke dalam THM adalah RM202,716,775.10.

Tambahnya, Kementerian Kewangan pada 7 Februari lalu telah memaklumkan Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan wang THM ini mengikut tatacara yang termaktub di dalam arahan amanahnya iaitu akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik yang perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah ini sahaja. – MalaysiaGazette