Home Nasional Isu Taliban: Saya boleh berdebat apabila tidak pakai jubah ini – Nga...

Isu Taliban: Saya boleh berdebat apabila tidak pakai jubah ini – Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming hilang sabar apabila berterusan diserang berhubung kenyataan ‘Taliban’ yang didakwa dibuat ekoran kerjasama antara UMNO-Pas baru-baru ini.

Kor Ming yang selalunya lebih ‘riang’ dan gemar berjenaka serta berpantun apabila duduk di kerusi Speaker, kali ini tidak semena-mena wajahnya garang, malah suaranya juga ditinggikan beberapa kali.

Tindak-tanduk Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping itu  memberi gambaran seolah-olah kenyataan itu tidak pernah dibuat oleh beliau, sebaliknya hanya media melaporkan perkara tersebut.

“Apabila jubah ini atas bahu saya, saya akan jalankan tugas dengan tegas, adil, saksama. Tetapi apabila ada ahli yang cuba melemparkan tuduhan terhadap Speaker, saya tidak akan terima.

“Pasir Salak, adakah kamu pernah dengar saya cakap (Taliban)? Mana kamu dengar sendiri?” soalnya kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin kemudian bangkit memberitahu beliau mendapat tahu melalui pembacaanya dalam laporan-laporan media tempoh hari.

Sambung Kor Ming, “Oh dengar dari suratkhabar. Duduk Pasir Salak, biar saya jelaskan.

“Saya sudah kata, apabila jubah atas bahu saya, saya adalah Speaker. Tetapi jika mahu tuduh speaker, kita sememangnya boleh debat di luar apabila saya tidak pakai jubah ini. Jangan buat tohmahan kecuali kamu ada bukti. Semua laporan media ini, Speaker tadi sudah buat ‘ruling’.

“Jangan hanya bersandarkan kepada media semata-mata kemudian membuat tuduhan melulu. Ini saya rasa tidak adil. Jika ada, kita bahas di luar, Jangan cuba mengajak atau mengundang kekecohan. Jangan cuba mencabar kewibawaan kerusi ini,” tegasnya.

Bagaimanapun, Tajuddin yang enggan mengalah meminta Kor Ming berbincang dalam Dewan dan bukan bercakap di luar.

“Apa cabar di luar? Cakap dalam sini sahaja,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Malaysia jadi Afghanistan dikuasai Taliban jika UMNO-Pas memerintah