Home Nasional MBPJ roboh gerai kerana jadi tempat biak nyamuk aedes

MBPJ roboh gerai kerana jadi tempat biak nyamuk aedes

Majlis Bandaraya Petaling Jaya
Majlis Bandaraya Petaling Jaya

KUALA LUMPUR – Keadaan kawasan yang terlalu kotor, bersampah serta tidak terurus menjadi penyebab pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan meroboh deretan gerai di sepanjang Jalan Camar, Seksyen Empat, Kota Damansara, semalam.

Dalam satu kenyataan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menegaskan, langkah tersebut diambil setelah aduan diterima berikutan kematian seorang wanita yang tinggal di Flat Gugusan Mawar berhampiran kawasan gerai berkenaan yang didakwa positif denggi pada 23 Januari lepas.

“Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga mengesahkan kawasan di sekitar Gugusan Melur terbabit adalah kotor, bersampah, serta terdapat struktur reban ayam dan pondok yang menjadi lokasi tempat penagih dadah,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, peniaga-peniaga gerai terbabit turut didapati tidak menepati syarat perniagaan walaupun sudah 10 tahun berniaga.

Katanya, MBPJ dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah semalam telah membuat pemeriksaan dan menemui 11 lokasi pembiakan nyamuk aedes di sekitar kawasan tersebut.

“MBPJ yang membuat siasatan awal mendapati tujuh struktur tanpa kebenaran didirikan di lokasi terbabit yang melibatkan enam struktur gerai dan satu pusat mencuci kereta.

“Setelah tindakan notis terakhir dikeluarkan oleh pihak Majlis pada 27 Februari, beberapa pemilik telah akur dengan arahan notis itu dan membuka sendiri struktur gerai tersebut,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, semasa operasi penguatkuasaan pada 6 Mac lalu melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan telah menahan dua lelaki yang disyaki penagih dadah.

MBPJ juga mengambi tindakan kompaun dan notis kepada peniaga bermula 2017 hingga Februari 2019 dengan jumlah kompaun dikeluarkan sebanyak (40), notis berhenti niaga (32), dan notis roboh (29).

“Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara konsisten di seluruh Petaling Jaya tanpa pilih kasih.

“Majlis juga ingin menegaskan agar para peniaga memohon lesen mengikut saluran yang betul dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” tegas MBPJ. – MalaysiaGazette