Home Nasional Kementerian Pendidikan arah 34 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta merta

Kementerian Pendidikan arah 34 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta merta

Ambulan dikejarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di Pasir Gudang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengarahkan 34 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang, Johor ditutup serta merta berikutan pencemaran kimia Sungai Kim Kim yang telah menjejaskan kesihatan pelajar di kawasan terbabit sejak beberapa hari lalu.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, tindakan tersebut diambil untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa pelajar serta warga sekolah dan beliau telah dimaklumkan keadaan semakin kritikal.

“Para guru juga tidak perlu bertugas kerana keadaan masih berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Maszlee, beliau difahamkan Jawatankausa Pengurusan Bencana Negeri yang melibatkan Menteri Besar Johor sedang bersidang dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, bomba, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negeri.

Munurut Menteri Pendidikan itu, beliau telah pergi ke Pasir Gudang semalam dan meluangkan masa hampir separuh hari melawat mangsa di Hospital Sultan Ismail.

Selain itu, Maszlee juga melawat Bilik Gerakan Bencana di Dewan Taman Pasir Putih dan menyaksikan lebih 50 pelajar dihantar oleh ambulans tanpa henti dari sekolah berdekatan kerana sesak nafas dan mengalami simptom yang sama dengan mangsa sebelum ini.

“Setelah melihat situasi yang semakin meruncing itu, saya telah mengarahkan semua sekolah dalam radius 3 kilometer ditutup serta merta dan arahan ini melibatkan 11 sekolah secara keseluruhan.

Tambah Maszlee, pihaknya memandang serius isu tersebut kerana ia melibatkan risko nyawa kepada pelajar, guru dan pekerja sekolah dan menggesa penjenayah yang melakukan kesalahan berat itu dibawa ke muka pengadilan dengan segera. – MalaysiaGazette