Home Nasional Presiden Korea Selatan diberi sambutan negara di Dataran Parlimen

Presiden Korea Selatan diberi sambutan negara di Dataran Parlimen

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memeriksa perbarisan kawalan kehormat Rejimen Askar Melayu ATM pada Lawatan Rasmi Presiden Korea Selatan ke Malaysia di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Korea Selatan Moon Jae-in yang kini dalam lawatan negara tiga hari ke Malaysia diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyambut ketibaan Moon dan pasangannya Kim Jung-sook pada pukul 10.06 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.

Sambutan dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkekuatan seramai seorang pegawai dan 44 anggota lain-lain pangkat diketuai Lt Mohd Shamram Ramli disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Moon kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada enam pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion RAMD berpangkalan di Kem Perdana Sg Besi yang diketuai Mejar Mohd Izham bin Ahmad Rashidi.

Pada upacara itu, menteri-menteri Kabinet dan para diplomat asing turut diperkenalkan kepada Moon.

Moon dijadual mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, menurut Wisma Putra.

Moon dan Dr Mahathir juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman mengenai kerjasama industri yang berkaitan dengan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), kerjasama dalam bidang pengangkutan dan pembangunan ‘Smart City’ di Malaysia, di samping kerjasama dalam industri halal.

Moon turut dijadual dirai dalam satu jamuan negara yang dihos oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in tiba di sini semalam untuk lawatan negara di Malaysia sehingga Khamis.

Pesawat khas yang membawa Moon serta pasangannya Kim Jung-sook tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.40 tengah hari.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking selaku menteri pengiring, berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Presiden Korea Selatan itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata lawatan itu dijangka meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Seoul di samping meletakkan asas baru bagi hubungan dua hala antara negara untuk berkembang.

— BERNAMA