Home Nasional Tiada amaran merah dikeluarkan

Tiada amaran merah dikeluarkan

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada sebarang kematian susulan kejadian pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim di daerah Johor Bahru.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan penularan kenyataan melalui Whatsapp mengenai pengisytiharan amaran merah oleh Hospital Sultan Ismail Johor Baharu yang tular semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz menasihatkan orang ramai mengelak daripada mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.

Menurutnya, maklumat terkini keadaan akan dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa.

Setakat malam tadi, jumlah mangsa pencemaran ekoran pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, pada Khamis lalu meningkat mendadak kepada 207 orang selepas berlaku insiden gelombang ke-2 tengah hari semalam.

Gelombang kedua itu membabitkan majoriti kes pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih.- MalaysiaGazette