KUALA LUMPUR – Dakwaan berdasarkan laporan media semata-mata tanpa sebarang fakta sokongan dan bukti tidak dibenar dibangkitkan pada sesi berbahas dalam Dewan Rakyat selepas ini.
Begitu ‘ruling’ dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas beberapa siri pertelingkahan serius antara wakil rakyat kerajaan dan blok pembangkang sejak bermulanya sesi perbahasan dua hari berturut-turut.
Malah lebih banyak masa terbuang kerana masing-masing bergaduh dan berteriak tuduh menuduh antara satu sama lain sehingga speaker gagal mengawal keadaan kali ini.
Mohamad Ariff membuat keputusan itu ketika Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera (BN), Datuk Seri Ismail Sabri sedang berucap perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya membuat keputusan sebarang laporan media atau media sosial yang tidak disokong mana-mana fakta kukuh yang lain tidak boleh dibangkitkan lagi dalam Dewan Rakyat selepas ini.
“Saya sudah buat ‘ruling’ ini dan ianya perlu dipatuhi selepas ini,” katanya.
Hari ini, Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer membuat bantahan kerana Ismail Sabri cuba menggunakan petikan dari blog Raja Petra Kamaruddin yang mengaitkan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan skandal beratus juta ringgit dalam pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Semalam, segelintir wakil rakyat Pas memohon supaya Ahli Parlimen Johor Bharu (PH), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menarik kembali kenyataannta kerana menggunakan contoh rasuah hanya berdasarkan media semata-mata oleh pimpinan parti itu.
Hari ini pula, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming juga marah apabila dikaitkan dengan kenyataan ‘Taliban’ ketika memberi gambaran kerjasama antara Pas-UMNO baru-baru ini.
Ada juga pimpinan dalam kalangan blok pembangkang turut melontarkan rasa tidak puas kerana sebelum-sebelum ini, pemimpin PH banyak melontarkan tuduhan hanya berdasarkan laporan portal berita seperti Sarawak Report (SR) namun ianya tidak dilayan. –MalaysiaGazette