Home Pendapat Kerajaan punca kes Pasir Gudang jadi lebih teruk?

Kerajaan punca kes Pasir Gudang jadi lebih teruk?

Pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang

Rata-rata rakyat sudah maklum kejadian pencemaran bahan kimia yang berlaku di Pasir Gudang kini akibat pembuangan sisa bahan kimia jenis metana di Sungai Kim Kim oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Gelombang pertama dipercayai berlaku pada 7 Mac yang melibatkan SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih. Kemudian disusuli dengan gelombang kedua iaitu pada 11 Mac sebaik sahaja sekolah di buka semula dan kali ini melibatkan lagi dua buah sekolah.

Terbaharu, berlaku gelombang ketiga pada 11 Mac sehingga menyebabkan Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan semua sekolah di daerah Pasir Gudang.

Jika kita lihat, situasi ini semakin hari semakin teruk namun sayang kerajaan negeri seolah-olah mengambil ringan terhadap kes pencemaran bahan kimia yang melanda penduduk di Pasir Gudang.

Dikata kelewatan kerajaan tangani isu ini adalah disebabkan kerajaan bimbang kos pembersihan yang terlalu tinggi terpaksa ditampung.

Malah menurut sumber yang dipetik dari Malay Mail, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan bahawa sisa buangan bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim sepatutnya dibersihkan dengan segera apabila sudah dikesan pada minggu lepas.

Tetapi langkah tersebut tidak diambil ekoran dari kerajaan negeri yang memutuskan kos pembersihan sungai itu yang terlalu tinggi. Dek kerana langkah ‘bijak’ ini sisa-sisa bahan kimia masih mengalir di Sungai Kim Kim sehingga mengakibatkan berlakunya gelombang kedua dan ketiga serta beratus-ratus orang di rawat di hospital.

Sekiranya kerajaan mengambil langkah lebih awal dengan melakukan pembersihan dengan kadar segera pada minggu lepas, saya yakin situasi sekarang lebih terkawal.

Tetapi semua itu tidak terjadi malah keadaan di Pasir Gudang semakin buruk dan tidak terkawal. Di tambah lagi dengan cuaca panas, menyebabkan tindak balas bahan kimia tersebut semakin aktif dan pergerakan tiupan angin menyebabkan pencemaran sisa bahan kimia ini terus merebak.

Saya tidak pasti apa yang difikirkan oleh Menteri Besar Johor, Osman Sapian dan kerajaan negeri Johor. Perkara ini bukan boleh dibuat main-main, ini perkara yang serius dan sudah melibatkan nyawa rakyat.

Adakah nyawa rakyat begitu murah di mata Osman Sapian dan kerajaan negeri Johor sehinggakan sangat berkira untuk menampung kos pembersihan di Sungai Kim Kim?

Dalam sidang media tersebut Osman Sapian memaklumkan situasi di Pasir Gudang masih terkawal dan tidak perlu mengisytiharkan darurat. Lebih lawak lagi, Osman Sapian hanya menyarankan penduduk di Pasir Gudang menutup pintu rumah kerana menurutnya kawasan perumahan tidak begitu terjejas dan yang hanya terjejas adalah di sekolah.

Malah dalam sidang media itu juga, kerajaan negeri barulah mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.4juta bagi kerja-kerja pembersihan.

Jadi di sini sangat jelas mengambarkan kerajaan negeri Johor sangat tidak perihatin akan keselamatan dan kesihatan rakyat negeri Johor. Malah melihat kepada mengurusan bencana yang dilakukan oleh kerajaan negeri jelas memperlihatkan langkah yang diambil sangat tidak efisien. Malah apa yang saya boleh sifatkan adalah kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan ini adalah kerajaan yang paling gagal dalam sejarah negeri Johor.

Saya mengambil kesempatan ini mendoakan keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat negeri Johor sentiasa dalam keadaan baik-baik serta dilindungi Allah. Bagi mangsa yang terlibat dengan pencemaran ini sama-sama kita doakan semoga mereka kembali sihat seperti sedia kala.

Dhia Hani,

Persatuan Pemikir Muda Johor