KUALA LUMPUR- Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengambilalih menangani tragedi tumpahan sisa kimia di Pasir Gudang.
Itu saranan timbalan presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kedua, katanya, kerajan perlu melantik seorang sahaja menjadi jurucakap bagi menyalurkan maklumat sahih dan tepat.
“Pertama, tragedi di Pasir Gudang telah menjadi krisis pencemaran dan jenayah biokimia yang serius, dan pada skala yang memerlukan segala daya usaha dan perhatian Kerajaan Pusat.
“Tindakan yang lewat akan mengeruhkan lagi keadaan ini yang sepatutnya diberikan perhatian dengan lebih cepat.
“Ia memerlukan mobilisasi segala sumber oleh Kerajaan Pusat. Justeru saya menyeru agar MKN mengambil alih tanggungjawab bagi menangani krisis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad, saranan itu bukan sekadar untuk membendung merebaknya kesan pencemaran sisa toksik ke radius kawasan yang lebih luas tetapi menangani kesan jangka masa panjang krisis ini terhadap kesihatan dan kelestarian alam sekitar kawasan Pasir Gudang dan sekitarnya.
“Kedua, kerajaan mesti melantik seorang jurucakap yang khusus bagi menyalurkan segala maklumat yang sahih, tepat dan pantas. Penyampaian maklumat yang cekap mampu membantu rakyat negeri Johor melalui pencegahan penularan berita palsu,” ujarnya lagi.
Semenjak gelombang pertama krisis itu, kerajaan negeri Johor sepatutnya menyediakan sumber maklumat utama yang konsisten untuk mengelakkan kecelaruan, kata Mohamad.
“Pelbagai maklumat yang tidak tepat telah mendominasi persada media sosial negara.
“UMNO berharap bahawa kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam menangani krisis dengan sistematik dan berwibawa,” katanya.
Ketiga, katanya, UMNO mendesak sebuah kertas putih disediakan dan dibentangkan segera di Parlimen Malaysia untuk menjelaskan bagaimana krisis itu bermula, sebab-sebab di sebalik kelewatan tindakan kerajaan negeri dan langkah bagi menangani dampak jangkamasa panjang krisis tersebut terhadap Pasir Gudang dan sekitarnya.
“Krisis seperti ini harus ditangani dengan pantas dan menyeluruh.
“Selain itu, UMNO berharap bahawa pihak di sebalik pertumpahan sisa kimia ini akan mengambil tanggungjawab.
“Hanya melalui penyediaan kertas putih, segala ketelusan yang diperlukan dapat dipersembahkan kepada umum,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Ia juga akan dapat mengenalpasti segala kelemahan yang mesti segera diperbaiki selain mencari siapa yang baru dipertanggungjawabkan atas kelemahan dalam menangani krisis ini secara pantas dan berkesan, katanya.- MalaysiaGazette