KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memantau dan menguatkuasakan undang-undang serta peraturan lebih ketat ke atas semua kilang sisa kimia yang ada di negara ini.
Ini bagi mengelak kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor dua hari lalu berulang lagi pada masa akan datang.
Dalam kejadian itu, ratusan pelajar dan penduduk menjadi mangsa dan menerima rawatan di hospital disebabkan sikap rakus serta tidak bertanggungjawab pengusaha kilang terbabit.
Ahli Parlimen Kemaman, Tuan Che Alias Hamid berkata, beliau berasa sedih dan memandang berat rentetan kejadian isu pelupusan sisa toksik di Sungai Kim Kim yang dilihat semakin krtikal apabila berlaku peningkatan mangsa selepas gelombang kedua hingga ke hari ini.
Sehingga kini, katanya, sebanyak 506 kes baharu berikutan pencemaran toksik direkodkan dan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang diarahkan tutup serta merta bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.
“Akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini telah mengundang kesan teruk bukan sahaja menjejaskan ekosistem iaitu sumber air, makanan, habitat haiwan dan kandungan tanah, tetapi turut mengancam keselamatan dan nyawa manusia.
“Persoalannya, adakah peruntukan undang-undang hari ini setimpal dengan kesalahan dilakukan pihak terbabit dengan isu ini kerana ia melibatkan nyawa manusia,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Tuan Che Alias, undang-undang yang tegas perlu dilaksanakan dan dikuatkuasakan.
Kata beliau, rakyat akan meneliti dan menilai setiap tahap penguatkuasaan serta sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan hari ini.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir pula menegaskan, Kementerian Alam Sekitar sewajarnya mengambil tindakan serius berkenaan isu pencemaran udara di Pasir Gudang sejak Khamis lalu.
Ini berikutan tahap keberkesanan langkah awal diambil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sehingga kini masih tidak menjamin tahap keselamatan penduduk.
Katanya, JBPM telah mengambil langkah menggunakan alat penyerap minyak bagi mengelak gas methana merebak.
“Bagaimanapun, bilangan mangsa sehingga hari ini terus meningkat kepada 556 melibatkan pelajar dan orang awam.
“Ini jelas sekali apabila sekolah yang ditutup Khamis lalu hanya 500 meter dari sungai berkenaan, namun begitu hari ini, udara yang tercemar sudah merebak sehingga 11 kilometer,” katanya.
Beliau menjelaskan, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Alam Sekitar dan Pertanian negeri mengatakan pembersihan menyeluruh mengambil masa lima hari.
“Saya berharap tempoh yang diambil tidak akan menyebabkan lebih ramai mangsa yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette