Home Ekonomi HDC optimis sasaran eksport RM50 bilion pada 2020 dapat dicapai

HDC optimis sasaran eksport RM50 bilion pada 2020 dapat dicapai

Hanisofian Alias
Naib Presiden Industry Development HDC, Hanisofian Alias pada Majlis Pra Pelancaran World Halal Conference 2019 Kuala Lumpur di Hotel Royale Chulan Damansara. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 MAC 2019

PETALING JAYA – Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) optimis sasaran eksport halal bernilai RM50 bilion pada tahun 2020 masih mampu dicapai meskipun mengakui persekitaran ekonomi global ketika ini amat mencabar.

Naib Presiden Pembangunan Industrinya, Hanisofian Alias berkata, eskport halal Malaysia mengalami penurunan sebanyak RM3.3 bilion kepada RM40 bilion berbanding 2017.

Ini disumbang oleh penurunan eksport dalam semua kluster kecuali segmen kosmetik dan penjagaan diri.

Jelasnya, kemerosotan nilai eksport halal tahun lalu disumbangkan oleh dua kluster utama iaitu minyak sawit derivatif (50 peratus) dan bahan kimia industri (36.7 peratus).

“Kami akui keadaan amat mencabar tambahan pula pengharaman minyak sawit dalam bahan api bio oleh Kesatuan Eropah tetapi ada segmen-segmen lain seperti kosmetik dan penjagaan diri menunjukkan perkembangan positif,” katanya semasa sidang media pra-pelancaran Persidangan Halal Dunia 2019 di sini hari ini.

WHC 2019 yang akan diadakan buat kali ke-11 pada 3 dan 4 April depan dianjurkan oleh HDC dan dihoskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ia dijangka disertai oleh lebih 1,000 peserta jemputan terdiri daripada ahli delegasi, pemimpin industri, penyelidik dan pihak lain yang komited terhadap pembangunan pengetahuan halal gloobal dan industri halal global.

Dalam pada itu, pengimport utama bagi produk halal Malaysia tahun lepas adalah Singapura (RM4.6 bilion); China (RM4.5 bilion); Jepun (RM2.5 bilion); Amerika Syarikat (RM2.4 bilion) dan Indonesia dengan RM1.9 bilion. – MalaysiaGazette