JOHOR BAHRU – Malaysian Football League (MFL) hari ini menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM).
Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak menjangka perkara itu akan berlaku berkata, pihaknya sentiasa menjadi rakan kongsi yang baik kepada TM dan mahu memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Selain itu MFL sudah banyak kali berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan pihak TM tetapi langkah itu menemui jalan buntu. Jadi MFL tidak boleh terus menunggu kerana kita ada tanggungjawab untuk menguruskan Liga Malaysia.
”Sejujurnya saya kecewa dengan tindakan TM dan kita dapat melihat bahawa ada perubahan drastik dalam dalam urusan kontrak bersama MFL bermula Mei tahun lepas.
“Saya sendiri tak menjangka TM akan melakukan perkara ini kepada bola sepak Malaysia yang sudah menjadi seakan nadi seharian puluhan juta rakyat Malaysia.
“Kami tahu mungkin kerajaan atau TM mempunyai keutamaan lain tapi mereka tidak boleh membiarkan sukan nombor satu negara yang menyatukan negara menderita kerana tindakan ini. Inilah yang akan berlaku apabila sukan dipolitikkan,” katanya dalam kenyataan.
Pada Januari 2018, TM menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun dengan MFL.
Tunku Ismail menambah, MFL akan cuba sebaik mungkin untuk terus maju tanpa TM kerana bolasepak adalah milik rakyat.
Menurutnya, MFL masih ada penaja dan pelabur dari pihak-pihak lain dan pasti ada penaja baru yang akan muncul
Sehubungan itu, Tunku Ismail telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berminat untuk menjadi penaja.
“Sebelum ini kita mendapat pertanyaan secara tak rasmi apabila ada pihak mendengar khabar angin bahawa TM tidak mahu meneruskan tajaan Liga Malaysia namun kita sentiasa menghormati kontrak bersama TM,” ujarnya.
Sementara itu, Tunku Ismail meminta semua pihak khususnya pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 24 pasukan Liga Malaysia supaya tidak bimbang di sebalik penamatan kontrak tersebut.
“MFL sentiasa mengorak langkah untuk menjaga kepentingan pasukan dengan mencari jalan mengukuhkan kewangan pasukan bertanding dalam Liga Malaysia.
“Ini kerana bola sepak bukan sahaja dinilai daripada aspek komersial tetapi sukan nombor satu negara ini adalah medium penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Jadi ia menjadi tanggungjawab bersama untuk memajukan sukan bola sepak, “ tambah Baginda. – MalaysiaGazette