Home Dunia Perangai ala gangster AS gagalkan rundingan nuklear dengan Korea Utara

Perangai ala gangster AS gagalkan rundingan nuklear dengan Korea Utara

Diplomat Korea Utara dakwa sikap ala gangster dari AS punca rundingan pemimpin kedua dua negara itu gagal dimeterai di Hanoi Februari 24 lalu.

SEOUL – Korea Utara dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS).

Negara itu dikatakan berkemungkinan mengkaji semula larangan ke atas ujian peluru berpandu dan nuklear melainkan Washington melonggarkan rundingan, lapor akhbar negara itu yang memetik diplomat kanan negara tersebut.

Naib Menteri Luar Choe Son Hui menuduh diplomat AS sebagai punca kepada kegagalan rundingan yang sepatutnya berlangsung pada Sidang Kemuncak di Hanoi antara Presiden Donald Trump dan Kim Jong Un, kata Agensi Berita Nasional Rusia, TASS dan Associated Press.

“Kami tidak berhasrat untuk tunduk kepada tuntutan AS (pada Sidang kemuncak Hanoi) dalam apa jua keadaan sekali pun, sama ada kita mampu berunding dengan cara sebegini (AS),” TASS memetik Chao memberitahu wartawan di wilayah Korea Utara.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton didakwa telah mencetuskan suasana permusuhan dan ketidakpercayaan dan sebelum itu menghalang usaha membina ke arah rundingan antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara tersebut, dakwa TASS yang memetik Chao.

Kim dilaporkan sudah membuat ketetapan untuk membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat mengenai pendiriannya dalam soal anti nuklear bersama AS dan tindakan susulan Korea Utara.

Bolton memberitahu pemberita di luar White House bahawa dia telah melihat kenyataan Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tidak sahih.

Dia mendakwa telah berbincang mengenainya dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan dan juga mahu berunding dengan pegawai kanan AS yang lain untuk maklum balas lanjut.

Wakil Pejabat Setiausaha Negara AS tidak mengeluarkan komen berhubung isu tersebut.

Choe berkata, Washington telah mensia-siakan peluang keemasan pada Sidang Kemuncak dan melontar amaran bahawa Jong Un mungkin memikirkan moratorium dalam soal pelancaran peluru berpandu dan ujian nuklear.

“Saya mahu nyatakan secara jelas di sini bahawa pendirian AS ala Gangster akan mengheret situasi dalam bahaya,” katanya.

Tambah beliau, hubungan secara peribadi antara kedua-dua pemimpin itu sangat akrab.

“Kami juga tidak boleh membuat sebarang andaian hanya berdasarkan kenyataan Choe dan kami sedang memerhatikan situasi ini secara rapat.

“Dalam apa keadaan sekalipun kerajaan kami akan berusaha untuk memulakan semula rundingan kedua pemimpin itu,” kata kenyataan dari Blue House Korea Selatan.- MalaysiaGazette