KUALA LUMPUR- Malaysia membantah keras keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang mengklasifikasikan minyak sawit sebagai “berisiko tinggi”.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, keputusan yang diambil oleh EU itu bukan bersandarkan kepada kajian sains bahan api atau sains penebangan hutan sebaliknya hanya berdasarkan faktor perlindungan politik.
“Keputusan itu mencerminkan ketidakadilan EU yang tidak boleh diterima dan ia gagal mengaplikasikan standard yang sama ke atas minyak kacang soya, walaupun fakta kajian EU sendiri menunjukkan bahawa kacang soya adalah penyumbang yang lebih besar terhadap penebangan hutan.
“Minyak sawit mengeluarkan hasil sawit lapan kali ganda daripada minyak kacang soya Amerika Syarikat (AS) bagi setiap satu hektar tetapi EU mengklasifikasikannya sebagai “berisiko rendah” disebabkan oleh alasan politik.
“Saya turut kecewa dengan keputusan EU untuk mengurangkan definisi pekebun kecil kepada dua hektar berbanding yang dicadangkan sebelum ini iaitu dua hingga lima hektar dalam draf Akta Wakilan berkenaan. Ia sangat tidak boleh diterima dan dianggap diskriminasi serta penghinaan kepada pekebun kecil di negara yang mengeluarkan minyak sawit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Teresa, negara pengeluar minyak sawit termasuk Malaysia sentiasa mengemukakan fakta yang menunjukkan keputusan Akta Wakilan yang dibuat EU itu adalah bersandarkan kepada faktor diskriminasi dan tidak tepat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah menjelaskan bahawa jika Akta Wakilan itu dilaksanakan, Malaysia akan menyiasat tindakan balas terhadap eksport Eropah.
“Ia bertujuan untuk mencegah langkah perlindungan agresif ini. Selain itu, kerajaan juga akan bekerjasama dengan negara lain dalam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk mengetengahkan isu ini di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya lagi.-MalaysiaGazette