KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengucapkan takziah kepada rakyat New Zealand khususnya masyarakat Islam di sana yang terkesan dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, New Zealand.
Menurut beliau, dunia harus menolak segala bentuk kebencian demi menjaga keharmonian bangsa dan agama.
“Michelle dan saya menghantar ucapan takziah kepada rakyat New Zealand. Kami berduka dengan anda dan masyarakat Islam.
“Kita semua mesti menentang kebencian dalam semua bentuknya,” katanya di Twitter beliau.
Pesuruhajaya Polis New Zealand, Mike Bush hari ini berkata angka korban tembakan rambang di dua buah masjid meningkat kepada 49 orang manakala lebih 48 lagi cedera.
Setakat ini tiga lelaki dan seorang wanita sudah ditahan dan pihak polis sedang berusaha untuk menghentikan rakaman video kejadian di Masjid Al Noor yang kini tular di media sosial. -MalaysiaGazette