Home Nasional Tolonglah, ini masa untuk berperikemanusiaan, bukan berpolitik – Nik Nazmi

Tolonglah, ini masa untuk berperikemanusiaan, bukan berpolitik – Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, mengingatkan pemimpin dan wakil rakyat supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai apa jua perkara khususnya dalam keadaan rakyat dikejutkan dengan serangan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand hari ini.

Peringatan itu menyusul selepas kenyataan seorang ahli DAP mengenai serangan tembakan rambang di masjid tersebut harus menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia mengenai perlunya mengekang ekstrimisme.

Sebuah portal berita menyiaran laporan ‘ADUN DAP beri amaran pakatan Pas-UMNO lepas serangan di Christchurch’ yang memaparkan kebimbangannya mengenai kerjasama kedua dua parti pembangkang itu.

“Persepakatan UMNO dan PAS serta minat mereka terhadap kaum dan agama adalah tidak bertanggungjawab sama sekali.

“Ia tidak memberi manfaat dalam pembinaan Malaysia baru yang boleh diambil kesempatan oleh kumpulan pengganas asing,” kata Chew Chong Sin.

Bagaimanapun artikel tersebut telah ditarik balik kerana “salah faham” yang timbul daripadanya.

Menyedari penularan artikel itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial, Nik Nazmi menasihatkan pemimpin politik berkenaan supaya mempertimbangkan keadaan semasa dan tidak berpolitik.

“Tolonglah, ini masa untuk ehsan dan kemanusiaan, bukan berpolitik.

“Saya dimaklumkan bahawa anda (pemimpin DAP) telah menarik balik kenyataan tersebut.

“Kita semua, sebagai ahli politik perlu lebih berhati hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu dalam twitter beliau.

Insiden tembakan rambang di masjid di New Zealand itu yang dipercayai dilakukan oleh warga Australia mengakibatkan 49 orang terbunuh dan 46 lagi cedera.

Dua warganegara Malaysia dilaporkan cedera dan menerima rawatan di hospital manakala Suruhanjaya Malaysia di New Zealand sedang memantau perkembangan insiden tersebut dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette