Home Nasional Apa yang penting, 47 rakyat kita sudah selamat pulang, usah politikkan –...

Apa yang penting, 47 rakyat kita sudah selamat pulang, usah politikkan – Larry Sng

KUALA LUMPUR – Usaha segelintir ‘pihak’ yang cuba berterusan mempolitikkan isu 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Kemboja selama hampir dua bulan bukannya keperluan ‘penting’ pada masa ini.

Malah siapa sebenarnya ‘jaguh’ dalam membebaskan kumpulan ini daripada terus menjadi penghuni penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian sepatutnya tidak menjadi satu rebutan.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, semua pihak perlu lebih berbesar hati dan bersyukur kerana kesemua rakyat yang rata-ratanya dari Sarawak kembali ke tanah air dengan selamat malah tidak dikenakan sebarang syarat oleh kerajaan Kemboja.

“Saya sedar dan sedia maklum ada ‘pihak’ di luar sana yang mempersoalkan tentang pelbagai perkara berkaitan pembebasan ini malah ada juga persoalan siapakah yang lebih diberikan ‘kredit’ kerana kejayaan ini.

“Saya rasa mereka ini sudah lupa atau terlepas pandang, apa yang penting kini cuma satu, rakyat kita sudah pulang dengan selamat, kerajaan Kemboja melalui rundingan melalui kerajaan khasnya Wisma Putra, semuanya telah selesai dengan baik.

“Malah Perdana Menteri Kemboja telah mengeluarkan arahan agar kesemua mereka yang sebenarnya berdepan dengan hukuman penjara atas dakwaan judi atas talian sebenarnya dibebasan tanpa sebarang syarat.

“Itu sendiri satu kejayaan yang besar, janganlah tuding jari atau persoal macam-macam khasnya apabila ini sudah selesai sebenarnya, apakah yang kita dapat dengan menyoal siapa layak diberikan pengiktirafan dan siapakah sebaliknya. Cukuplah, ini bukan isu politik.

“Apa kata kalau kita bercakap tentang isu yang lebih besar? Tentang ‘scam’ yang menjadi-jadi khasnya di Sarawak dan bagaimana untuk menanganinya. Saya pasti yang bercakap ini juga berpengalaman besar.

“Juga, isu sosial seperti kemiskinan yang sebenarnya antara punca bagaimana ini terjadi. Bukanah ini jauh lebih berfaedah? Cukuplah, mari kita berfikir dan melakukan sesuatu untuk rakyat daripada berterusan bermain politik seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi Parlimen baru baru ini.

Larry Sng dan AzraBaru-baru ini, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat pendedahan berhubung pembebasan 47 rakyat Malaysia, malah mendakwa Larry tidak bercakap benar tentang penglibatannya dalam pembebasan itu secara jelas ketika sesi di Dewan Rakyat.

Tambah Larry, sebenarnya ada hikmah disebalik pembebasan 47 ini di Kemboja kerana liputan meluas itu juga telah membongkarkan kepada satu lagi insiden lapan rakyat Malaysia juga ditipu agen di Liberia.

“Lapan warga Malaysia yang pergi ke Liberia yang menjanjikan gaji lumayan tapi mereka tertipu dan ditahan di sana sejak 4 Februari lalu dan akhirnya melalui rundingan telah dibebaskan tanpa syarat awal bulan ini,” jelas Larry.

Peristiwa ini merupakan insiden kedua tahun ini membabitkan rakyat Malaysia yang mencari kerja di luar negara, selepas 47 orang yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia dibebaskan mellaui rundingan diplomasi pihak berkuasa.

Dalam pada itu kata Larry, beliau sedang memantau perkembangan kes itu dari masa ke semasa selain sentiasa menghubungi rakyat Malaysia khasnya di Sarawak sejak pulang tempoh hari.

“Memang saya ikuti perkembangan ini dari semasa ke semasa, sudah tentu itu adalah kerja polis tetapi juga sudah menjadi tanggungjawab saya khasnya Ahli Parlimen di Julau untuk pantau dan cuba memastikan insiden seperti ini tidak berulang.

“Kita sedang berdepan dengan isu kemiskinan yang tegar, malah ini adalah termiskin sebenarnya. Tentu juga ‘syurga’ kepada golongan berkepentingan untuk memerangkap mereka khasnya dengan menawarkan skim bagi membantu mereka keluar dari kemiskinan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

kemboja
Seramai 47 rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu sejak 11 Dis lepas.