Home Politik Najib dakwa PH halangnya masuk FELDA

Najib dakwa PH halangnya masuk FELDA

JEMPOL – Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa beliau tidak dibenarkan lagi masuk ke dalam FELDA sejak pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Adakah ini satu tamparan kepada kebenaran? Siapa banyak jasa kepada FELDA? Puak-puak hari ini? Puak-puak PH? Bukan. Sejak zaman Tun Razak lagi (BN berjasa) tapi dia (PH) tergamak menghalang kita.

“Kata Malaysia baru, kita lebih terbuka.. taik minyak lebih terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sepetang Bersama Bossku di Madrasah Tahfiz Ibnu Sharif di Kampung Jeram Panjang hari ini.

Menurut Najib, beliau tidak dibenarkan masuk FELDA sedangkan semua hasil yang dinikmati peneroka sekarang hasil perjuangannya UMNO dan BN.

“Kalau tidak UMNO, tiada Tun Razak, tiada tuan-tuan dan puan-puan 10 ekar tanah, tidak ada anak-anak masuk universiti,” katanya.

Menurut beliau, banyak rumah peneroka FELDA sekarang sudah besar dan rumah batu pun hasil usahanya menyediakan pinjaman RM40,000 tanpa faedah suatu masa dahulu.

“Zaman Tun Razak sampai zaman anaknya, kita membela FELDA, dia (PH) ada hati halang kita masuk FELDA,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib mengakui FELDA merupakan ‘anak emas’ semasa pemerintahannya kerana kerajaan selalu memberi keutamaan kepada peneroka.- MalaysiaGazette