Home Utama Gempa bumi Lombok: Seorang rakyat Malaysia maut, 6 masih hilang

Gempa bumi Lombok: Seorang rakyat Malaysia maut, 6 masih hilang

Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia terkorban dalam gempa bumi di Lombok Timur manakala enam yang lain belum dapat dikesan.

Gempa bumi dengan 5.8 skala Richter melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada pukul 2.07 petang (waktu tempatan) hari ini.

Kementerian Luar Negeri berkata, mangsa dan keenam-enam orang rakyat Malaysia itu dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa gempa bumi berlaku.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan. Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden ini, ” katanya.

Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

Kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden gempa bumi ini dan menyarankan supaya semua warga negara Malaysia yang terjejas untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat di bawah:

Alamat : Jl. H.R. Rasuna Said
Kav.X/6, No. 1-3
Kuningan, 12950
Jakarta Selatan
Telefon: +(6221) 522 4947 / +62 813 8081 3036
03-8887 4570 (Wisma Putra)
E-mel: [email protected]

Kementerian Luar Negeri juga menasihatkan supaya warga negara Malaysia melaporkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan. – MalaysiaGazette