SEREMBAN- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pemilihan Dr S. Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah kerana pakar bius itu berjiwa kemanusiaan.
Anwar berkata Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu pernah menyertai program ‘Doctor Without Border’ sebagai sukarelawan di Afghanistan dan Sudan pada 2010 serta 2011 dengan membantu orang Islam yang tercedera.
“Beliau beragama Hindu, tetapi menjadi sukarelawan membantu manusia dengan mengetepikan sentimen agama dan kaum. Sebab itu saya pilih beliau.
“Streram layak dipilih sebagai calon berikutan beliau terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan membantu masyarakat dunia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRK DUN Rantau di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas dekat sini hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pemilihan Streram sebagai calon kerana beliau dinafikan hak bertanding pada PRU-14 sehingga beliau mengheret kes itu ke mahkmah dan memenanginya.
Sementara itu, Streram mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan pimpinan PH yang lain kerana memberinya peluang untuk bertanding di kawasan berkenaan.
“Saya seorang doktor dan sudah tentu saya akan berkhidmat untuk masyarakat. Saya tidak akan lari daripada apa-apa masalah masyarakat.
“Saya telah berkhidmat di DUN Rantau selama tiga setengah tahun dan saya pergi dari rumah ke rumah untuk menyelesaikan beberapa masalah di sana. Walaupun saya dinafikan bertanding pada PRU-14, saya terus bekerja untuk penduduk di DUN Rantau tanpa mengira bangsa dan agama. Oleh itu, berilah saya peluang menjadi wakil PH di DUN Negeri Sembilan,” katanya.-BERNAMA