Home Nasional Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew terbunuh dalam gempa bumi

Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew terbunuh dalam gempa bumi

Datin Tai Siew Kim

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim terbunuh dalam gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter di Pulau Lombok, Indonesia hari ini.

Petugas Meja Bahasa Mandarin Bernama melaporkan Tai, 56, sedang bercuti bersama dengan anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok semasa kejadian.

Mereka berada di pulau itu sejak 14 Mac dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur Isnin.

Anak lelakinya yang berumur 20 tahun yang mengalami kecederaan, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di pulau itu.

Suami Tai, Ketua Pengarang China Press Datuk Teoh Yang Khoon dijadualkan berlepas ke Lombok pagi esok.

Gempa pertama berukuran 5.8 pada skala Richter berlaku pada pukul 2.07 petang waktu Indonesia barat di kedudukan 24km timur laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat.

Jabatan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia melaporkan bahawa ia disusuli dengan dengan satu lagi gempa berukuran 5.2 pada skala Richter berpusat 7km barat laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat pada pukul 2.09 petang.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Gempa bumi Lombok: Seorang rakyat Malaysia maut, 6 masih hilang