KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menguasai sebanyak 40 peratus dalam penyedia perkhidmatan hos web dan awan terkemuka, Exabytes Capital Group (Exabytes) bernilai RM44 juta.
Ia mempunyai pilihan untuk meningkatkan pegangannya kepada 54 peratus.
Exabytes dilancarkan pada 2001 adalah salah satu syarikat pengehosan web terkemuka di Asia Tenggara dan memiliki lebih daripada 100,000 pelanggan, termasuk individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat tersenarai awam dan agensi kerajaan.
Syarikat itu adalah pemimpin pasaran di Malaysia dan berada di landasan untuk menjadi salah satu pesaing terbesar di Asia Tenggara bagi perkhidmatan pengehosan web dan awan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, entiti itu sedang mengembangkan sayap dalam industri perkhidmatan.
Sejajar dengan mandat Ekuinas, ia akan melabur dan menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan berpotensi tinggi yang bersedia untuk mencapai skala lebih besar dan bersaing di peringkat serantau, atau peringkat global.
“Exabytes adalah contoh terbaik sebuah syarikat yang berpotensi untuk menjadi pemimpin serantau yang boleh
menjadikan Malaysia sebagai pusast tumpuan untuk perniagaan dan bakat,” katanya.
Menerusi Exabytes, Ekuinas akan dapat memanfaat daripada ekonomi internet yang berkembang pesat di peringkat global,
yang kini bernilai AS$3.5 trilion.
Pelaburan ini merupakan yang kedua bagi Ekuinas dalam perkhidmatan teknologi dan yakin dengan prospek Exabytes sebagai sebuah syarikat enabling technology.
Exabytes adalah syarikat dominan dalam tiga pasaran dan telah mencatat sejarah prestasi kewangan yang konsisten dan
penambahan bilangan pelanggan tahun demi tahun.
“Kami yakin Exabytes akan meneruskan trajektori pertumbuhannya memandangkan pasaran global bagi perkhidmatan
pengehosan dijangka berkembang pada kadar 9 peratus setahun, dipacu oleh tahap penembusan Internet
yang semakin meningkat dan juga pendigitalan perniagaan,” tambahnya.
Menguasai bahagian pasaran hampir 30 peratus di Malaysia dan berbekalkan rekod pencapaian perkhidmatan kukuh selama 18 tahun, Exabytes dijangka berkembang maju seiring pertumbuhan
industri.
Sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang, Exabytes telah berkembang pantas menerusi penggabungan dan pemerolehan (M&A) yang membolehkannya meluaskan perniagaan dalam segmen berbeza di pasaran tertentu.- MalaysiaGazette