Home Dunia Kawalan ketat polis seluruh New Zealand

Kawalan ketat polis seluruh New Zealand

Anggota-anggota polis New Zealand ditempatkan di kawasan awam susulan kes serangan di dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu. foto Agensi

WELLINGTON – Anggota-anggota polis ditempatkan di sekitar di Christchurch selepas sekolah dan perniagaan dibuka pada hari ini selepas berlaku serangan yang membunuh 50 orang di dua masjid di bandar itu Jumaat lalu.

Komisioner Polis, Mike Bush berkata, terdapat 200 tambahan polis dikerah memantau bandar itu.

Malah, helikopter digunakan bagi tujuan pemantauan.

“Anda akan melihat kehadiran polis di jalan-jalan raya, sekitar kawasan perniagaan, sekolah, malah di udara di seluruh negara.

“Anda akan rasa selamat untuk ke mana-mana,” katanya.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern akan mempengerusikan mesyuarat kali pertama sejak berlaku serangan itu bagi membincangkan langkah mengetatkan penggunaan senjata api di negara itu.

Serangan yang dilakukan oleh rakyat Australia, Brenton Tarrant, 28, adalah tragedi terburuk di negara ini.

Sementara itu, keluarga-keluarga mangsa masih menunggu mayat yang akan diserahkan selepas bedah siasat selesai.

Malah, ada mayat yang akan diterbangkan ke negara asal.

Tarrant telah didakwa membunuh pada Sabtu lalu dan dia dijangka berdepan dengan beberapa dakwaan lagi apabila kesnya dibawa ke mahkamah pada 5 April ini.

Polis berkata, lapangan terbang di bandar selatan Dunedin juga dibuka semula hari ini selepas satu barangan ditemui di tanah lapang.

Lapangan terbang itu ditutup pada lewat hari Sabtu lalu, menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dialihkan. – MalaysiaGazette