SEATTLE – Boeing Co yang berdepan dengan krisis terbesar berhubung keselamatan model 737 Max 8 memahami bahawa ‘setiap nyawa bergantung kepada kerja yang dilakukan oleh syarikat itu’.
Sehubungan itu, Ketua Eksekutifnya, Dennis Muilenburg berkata, syarikat itu akan memastikan sepenuhnya keselamatan model pesawat 737 Max 8.
Muilenburg berkata, penambahbaikan perisian bagi pesawat itu akan dibuat tidak lama lagi, susulan dua nahas membabitkan Ethiopian Airlines yang berlaku lapan hari lalu dan Lion Air pada Oktober tahun lepas.
Setakat ini, para penyiasat menemui kesamaan yang ketara dalam kejadian nahas membabitkan Boeing 737 Max 8.
Kejadian itu memberi tekanan kepada Boeing, pembuat pesawat terbesar dunia.
Tragedi yang menimpa Ethiopian Airlines pada 10 Mac lalu yang mana seramai 157 orang maut, mendorong kebanyakan negara mengharamkan penggunaan pesawat berkenaan.
Dalam kejadian pada Oktober tahun lalu, seramai 189 orang penumpang Lion Air terbunuh.
“Berdasarkan fakta dari pesawat 610 Lion Air dan data baharu dari Ethiopian Airlines, kami mengambil tindakan untuk memastikan keselamatan Boeing 737 Max 8,” katanya dalam sepucuk surat kepada syarikat-syarikat penerbangan, penumpang dan komuniti penerbangan.
Surat itu didedahkan pada Isnin.
Tambah Muilenburg, Boeing juga faham dan kecewa bagi pihak para pelanggan dan penumpang kerana terpaksa berhadapan dengan masalah pesawat yang terpaksa digantung operasinya.
Boeing bekerjasama sepenuhnya dengan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), Jabatan Pengangkutan dan Keselamatan Negara dalam menangani isu-isu berkaitan nahas membabitkan Lion Air dan Ethiopian Airlines, kata Muilenburg.
Beliau berkata, kerja itu akan ‘berjalan dengan lancar dan pantas’ untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kemalangan Ethiopian Airlines dan memahami maklumat dari suara kokpit dan perakam data penerbangan.
Pembaikan perisian Boeing telah dibangunkan selepas nahas Lion Air apabila pengawal selia mencadangkan data sensor palsu boleh menyebabkan sistem yang dikenali sebagai MCAS (Sistem Pengembangan Ciri-ciri Pergerakan) untuk terlebih reaksi dan menjadikan pesawat sukar dikawal.
Muilenburg berkata, pembaharuan perisian dan semakan latihan juruterbang ‘akan menangani sifat kawalan penerbangan MCAS sebagai tindak balas kepada input sensor yang salah’. – MalaysiaGazette