Home Utama Malaysia tidak mahu bermusuh dengan China, Singapura

Malaysia tidak mahu bermusuh dengan China, Singapura

Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan yang dikemukakan peserta Invest Malaysia 2019 The Capital Market Forum di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan meneruskan dasar perhubungan baik dengan semua negara termasuk China dan Singapura walaupun mempunyai perbezaan pendapat dalam banyak isu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kedua-dua buah negara berkenaan kekal sebagai rakan kongsi perdagangan utama Malaysia.

“Malaysia sentiasa ‘mesra’ dengan China dan melihat China sebagai sebuah pasaran yang besar.

“Kita tidak mahu bermusuh dengan negara yang mempunyai pasaran yang besar.

“Begitu juga Singapura, memang kita selalu ada masalah dengan jiran tetapi Malaysia tidak akan berperang dengan Singapura kerana Malaysia bukan negara yang suka perang.

“Rundingan yang dijalankan bersama China dan Singapura berhubung pelbagai isu tidak akan menjejaskan hubungan ekonomi,” katanya semasa sesi soal jawab di Forum Pasaran Modal Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

Terdahulu di dalam ucap tamanya, Perdana Menteri turut memberi komitmen yang sama di hadapan para pelabur antarabangsa yang menghadiri forum berkenaan.

Ketika ini, kerajaan Malaysia sedang berunding mengenai terma-terma berhubung bekalan air baharu dengan Singapura.

Manakala dengan China pula, Malaysia masih lagi berunding mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pada majlis sama, Dr. Mahathir turut memberi keyakinan kepada pelabur bahawa kerajaan baharu telah berjaya mengusir kerajaan kleptokrasi apabila diberi mandat oleh rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Jelasnya, kerajaan baharu pimpinannya itu terpaksa menghabiskan tempoh setahun pertama untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dicipta hasil skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang disamakan dengan skim ponzi.

“Saya tidak dapat bayangkan, apa yang akan berlaku kepada negara ini sekiranya rakyat Malaysia enggan berubah (dengan menukar kerajaan).

“Kami telah berjaya menghalang krisis kewangan daripada berlaku,” katanya dalam ucaptamanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh 10 bulan pemerintahannya, kerajaan Pakatan Harapan sangat memahami kehendak rakyat. – MalaysiaGazette