KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah memulakan siasatan dalaman terhadap insiden penahanan tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai (OCS) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis akan bertindak sekiranya berlaku kelemahan penyeliaan berlaku atau ada penglibatan pegawai polis dalam perkara dan melibatkan isu integriti.
“Ketika ini siasatan dijalankan oleh SPRM dan polis tidak mempunyai butiran lanjut berkaitan tapi dimaklumkan sepertimana yang saya baca di akhbar dan bukannya dimaklumkan oleh pegawai mereka yang sama melindungi pusat pelacuran dan sebagainya.
“Jadi, kita akan siasat secara dalaman dan saya telah mengarahkan JIPS melakukan siasatan peringkat jabatan kita,” katanya pada sidang media selepas diminta pengesahan mengenai penahanan tiga anggota polis oleh SPRM semalam.
Mohamad Fuzi sebelum itu menyaksikan Majlis MoU antara Koperasi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan Persatuan Pegawai Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.
Kata Mohamad Fuzi, mengikut maklumat yang diterima mereka yang ditangkap adalah dua anggota polis dan seorang OCS Daerah Wangsa Maju.
Ditanya sama ada polis akan menunggu laporan siasatan lengkap SPRM dalam soal berkenaan, Mohamad Fuzi berkata, polis terlebih dahulu perlu meneliti merit kesalahan berdasarkan laporan rakan di SPRM.
“Kita tidak semestinya tunggu laporan SPRM kerana siasatan dalaman sudah digerakkan..sudah arahkan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Seri Mazlan Lazim) membuat siasatan,” tegasnya lagi.
Semalam, Pengarah Operasi SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan ketiga tiga angota PDRM didakwa melindungi dan menerima wang sogokan dari premis rumah urut di ibu negara.- MalaysiaGazette