Home Nasional Saya tersentuh emosi kalau MAS ditutup – Abdul Aziz

Saya tersentuh emosi kalau MAS ditutup – Abdul Aziz

Bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Aziz Abdul Rahman bercakap semasa sidang akhbar tentang masa depan MAS di Eastin Hotel Kuala Lumpur, Petaling Jaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 19 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System Berhad (MAS), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mengakui beliau tersentuh dengan beberapa pilihan cadangan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu.

Beliau berkata, cadangan kemungkinan untuk menutup, menjual atau dibiayai semula syarikat penerbangan kebangsaan itu cukup membuat dirinya berasa emosi.

Jelas beliau, ramai tidak tahu bagaimana MAS ditubuhkan daripada tiada apa-apa dan berdepan pahit jerih kepayahan untuk membina nama pada hari ini.

“Cadangan penubuhan MAS tercetus selepas dua tahun terjadinya rusuhan kaum apabila negara memerlukan pembangunan.

“Ketika itu terdapat syarikat penerbangan Malaysia Singapore Airlines namun semuanya beroperasi di sana.

“Tun Abdul Razak ketika itu panggil saya untuk membuka syarikat penerbangan negara sendiri dan tidak mahu meneruskan dengan syarikat penerbangan itu.

“Bayangkan daripada kosong, bukan sahaja juruterbang dan jurutera, krew kabin dan katering pun kita tidak ada. Jadi saya saya kena ikut undang-undang untuk berpisah dan memujuk kakitangan di sana untuk membangunkan MAS,” katanya.

Beliau demikian pada sidang media mengenai masa depan MAS anjuran Persatuan Pesara Penerbangan Malaysia (MASRA) di sini hari ini.

Turut hadir Presidennya, Kapten Abdul Razak Hashim.

MAS telah ditukar nama kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada 1 Julai 2015 susulan pelaksanaan penstrukturan syarikat penerbangan itu.

Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, daripada syarikat penerbangan kosong itu, MAS menjadi popular dan sering mendapat pengiktirafan bertarag dunia dan negara turut berjaya membina lapangan terbangan antarabangsa.

Beliau yang meninggalkan MAS pada tahun 1992 berkata, MAS bukan sahaja memiliki krew kabin terbaik di dunia malah dapat membangunkan hab penyelenggaraan dan baik pulih operasi (MRO) antara 10 terbaik di dunia.

Namun katanya hab itu telah ditutup dan saiz operasinya menjadi kecil serta MAS pula kini menghantar pesawat di MRO luar negara.

“Saya antara generasi lama dalam MAS rasa sedih dengan apa yang terjadi selama ini.

“Pada tahun 2014, kerajaan menerusi pelan pemulihan yang dicadangkan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah melabur RM6 bilion.

“Namun MAS terus mencatatkan kerugian setiap tahun dan difahamkan RM800 juta pada tahun lalu.

“Apa sudah jadi pelan pemulihan itu dan apa jenis pengurusan MAS selama empat tahun lalu?

“Saya dulu ambik wang MAS sikit macam-macam kena soal. MAS pernah rugi RM1 bilion tetapi macam tidak ada apa-apa dan perkara normal,” katanya.

Masa depan MAS menjadi tanda-tanya apabila minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan beberapa pilihan sama ada MAS perlu ditutup, dijual atau dibiayai semula kerana syarikat penerbangan menyebabkan negara menanggung beban hutang.

Kenyataan itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa agar perkhidmatan MAS biar pun mengalami kerugian.

Menurut beliau, MAS tidak boleh diganti dengan mana-mana penerbangan lain yang ada kerana ia adalah kebanggaan Malaysia di mata dunia. – MalaysiaGazette