Home Ekonomi Tiada lagi cukai baharu tahun ini

Tiada lagi cukai baharu tahun ini

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tidak akan ada lagi cukai baharu bagi tahun ini kecuali cukai ke atas gula yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“(Bagaimanapun), ia (pelaksanaannya) ditangguhkan buat sementara waktu kerana kita mahu memastikan mekanisme itu berkesan terutamanya untuk memenuhi matlamat kesihatan negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2019 di sini.

Cukai eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang sepatutnya mula dilaksanakan pada 1 April, 2019 bagaimanapun ditangguhkan kepada 1 Julai, 2019.

Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan cukai gula akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter, begitu juga jus yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter.

Perdana Menteri juga berkata mulai tahun depan, kerajaan akan menggunakan hasil yang dikutip daripada cukai itu bagi menjalankan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada semua kanak-kanak sekolah rendah.

“Kita mahu anak-anak kita kuat dan sihat untuk mencapai prestasi baik di sekolah,”: katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata jawatankuasa pembaharuan cukai (TRC) juga berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan cadangan penambahbaikan hasil cukai.

Cadangan itu akan mengesyorkan langkah untuk mengurangkan ketirisan cukai, bagaimana mengakses kepada transaksi ekonomi yang dianggap haram, penambahbaikan pentadbiran cukai serta mencari sumber hasil baharu, katanya.

“Kita juga akan melaksanakan rasionalisasi insentif cukai bagi pelaburan, memandangkan struktur pentadbiran serta tadbir urus insentif cukai yang ada sekarang amat berasingan, menggunakan kos yang tinggi dan kurang berkesan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia pada masa ini menawarkan lebih 130 jenis insentif yang diuruskan oleh 32 Agensi Penggalak Pelaburan, dengan pelbagai peranan dan tanggungjawab, serta beberapa agensi yang memberi kelulusan.

“Cadangan kita memerlukan insentif cukai pelaburan yang holistik dan mudah yang akan menarik pelaburan masa depan,” katanya.

Dr Mahathir berkata insentif itu akan diberikan kepada sektor diinginkan dan jenis pelaburan yang diperlukan negara, serta insentif itu dijajarkan dan terikat dengan Petunjuk Prestasi Utama yang khusus.

Agensi yang terlibat dalam memberikan dan meluluskan insentif cukai akan turut diperkemas.

Kadar cukai korporat di Malaysia telah sedia kompetitif, katanya.

Bagi tahun ini, kadar cukai korporat akan dikurangkan kepada 17 peratus daripada 18 peratus untuk perusahaan kecil dan sederhana dengan modal berbayar di bawah RM2.5 juta serta perniagaan yang mencatatkan pendapatan boleh cukai tahunan di bawah RM500,000.

Mengenai syarikat besar dan utama pula, di samping kadar cukai itu yang lebih tinggi, kadar cukai berkesan adalah kurang daripada 10 peratus susulan insentif ini, katanya. – MalaysiaGazette