Home Nasional Akta Hasutan masih boleh pakai selagi tak dihapuskan

Akta Hasutan masih boleh pakai selagi tak dihapuskan

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bertanyakan sesuatu dengan salah seorang banduan sewaktu melawat ruang pameran pada Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-229 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2019.

KAJANG – Akta Hasutan 1947 masih boleh digunapakai selagi ia tidak dihapuskan kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri itu menyarankan supaya pihak berkuasa menggunakan akta itu secara berhemah dan mengikut budi bicara mengikut situasi sesebuah kes yang dikendalikan.

“Jadi saya sekarang kurang maklum ia telah ditiadakan bermakna polis boleh menguatkuasakan Akta Hasutan tetapi saya nak beri pandangan di sini dalam keadaan semasa ini kita harus lebih teliti.

“Terserah kepada pihak polis untuk menimbang sama ada kes kes yang dianggap hasutan ada asas kukuh tapi siasatan harus dibuatlah kalau disiasat atas akta apa disiasat, mesti ada akta tertentu.

“Jadi kalau akta ada tidak dikuatkuasakan apa maknanya ada akta itu tetapi tak digunakan tapi yang kita minta polis supaya berhemah bermakna tidak semestinya guna akta itu ada untuk peruntukan lain yang daripada akta yang boleh digunakan yang sesuai,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan sambuta Hari Penjara Ke-299 di Penjara Kajang di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Mohamad Azis Jamman yang dianugerahkan pangkat kehormat Jabatan Penjara pada majlis sama.

Tambah Muhyiddin, ini bukan bermakna kerajaan tidak menggalakkan langsung pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan.

“Tapi kita serahkan kepada budi bicara polis untuk menentukannya sebab dalam kajian sebelum ini akta ini sudah pun peringkat akhir dengan cadangan beberapa perkara tak payah guna pakai.

“Contohnya, kalau orang hina saya menteri kerana dia benci secara peribadi ke apa dan hina perdana menteri ke atas kapasiti benci peribadi itu, bagi kita itu tak dianggap suatu hinaan, kalau dia mencerca raja dan institusi raja atau agama besar negara itu berat.

“Sebab itu minta polis guna budibicara betul supaya tak disalahtafsirkan penggunaan akta itu yang masih belum dihapuskan dan boleh dilaksanakan selagi tak dibawa ke Parlimen,” tegasnya.- MalaysiaGazette